Kenderaan tersebut akan digunakan sebagai kereta rasmi persidangan itu yang akan berlangsung dari 17 hingga 22 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dengan BMW sebagai rakan rasmi e-Mobiliti.

Kereta terbabit diserahkan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Harald Hoelzl kepada Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab. Rahman.

Mengulas mengenai kerjasama dengan TNB dan CEPSI 2018 itu Hoelzl berkata, ia mencerminkan usaha BMW Malaysia untuk menjadi rakan kongsi utama dalam mentransformasikan industri elektro mobiliti tempatan dan cita-cita negara dalam pembangunan mapan.

“Kami sedia bertukar kepakaran dan pandangan bersama pakar terkemuka dalam industri, selain mendapatkan lebih pengetahuan daripada pemimpin di CEPSI untuk membentuk Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

CEPSI merupakan persidangan dan pameran industri pembekalan elektrik paling penting dan berprestij di Asia Timur dan rantau Pasifik Barat di bawah selian Persatuan Industri Pembekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP).

Bertemakan ‘Membayangkan semula Utiliti Masa Hadapan’, persidangan itu akan menumpukan kepada senario semasa bagaimana industri pembekalan elektrik mengalami transformasi ekoran kemunculan dan penggabungan akibat gangguan teknologi, perubahan ekonomi, ke­perluan kemapanan dan peraturan yang berubah pesat, serta pertambahan jangkaan pelanggan.

Dalam pada itu Roslan berkata, kereta-kereta yang ditaja oleh BMW itu akan digunakan untuk mengangkut VVIP dan Ahli Majlis Eksekutif AESIEAP sepanjang persidangan selama lima hari terbabit.

“Kerjasama mobiliti adalah tepat pada masanya ketika kenderaan elektrik (EV) menjana revolusi perubahan dalam pengangkutan di seluruh dunia.

“TNB melalui anak syarikat milik penuh kami, TNB Energy Services Sdn. Bhd. bekerjasama dengan Malaysian Green Techno­logy Corporation untuk menyampaikan perkhidmatan bersepadu kepada pemilik EV di Malaysia,” jelasnya.