Menurut syarikat tersebut, berdasarkan keputusan kewangan interim yang belum diaudit pada suku berkenaan, ekuiti pemegang saham BMedia yang digabungkan adalah kurang daripada RM40 juta, yang mewakili 25 peratus atau kurang modal terbitannya.

Katanya, memandangkan BMedia kini dianggap sebagai syarikat berstatus PN17, kumpulan dikehendaki mengemukakan pelan penyusunan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh yang diumumkan.

“Kegagalan untuk memenu­hi keperluan SC ini, akan menye­babkan syarikat berdepan dengan masalah penggantungan atau pe­nyahsenaraian.

“Untuk itu, syarikat sedang me­ngkaji langkah terbaik bagi me­rumuskan pelan penyusunan da­lam usaha menangani status PN17. Pengumuman seterusnya akan dibuat berhubung pelan penyusunan ini pada masa akan datang,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini semalam.

Menurut BMedia, secara ber­asi­ngan, kerugian pada suku ber­kenaan semakin meningkat kepada RM14 juta berbanding RM3.52 juta, sebahagian besarnya di­sebabkan kerugian terjejas RM12 juta bagi hak penerbitan.

Perolehan, bagaimanapun, me­­ningkat enam peratus kepada RM9.07 juta, daripada RM8.55 juta tahun lalu. Ia disebabkan pendapatan pengiklanan yang lebih tinggi direkodkan menerusi anak syarikatnya, Sun Media Corp. Sdn. Bhd.

Bagi tahun kewangan 2017, kerugian bersih BMedia berkembang 33 peratus tahun ke tahun kepada RM21.13 juta berban­ding RM15.91 juta manakala perolehan menurun empat peratus kepada RM42.75 juta berbanding RM44.53 juta disebabkan pendapatan pengiklanan yang rendah.

BMedia berkata, syarikat akan terus memberi fokus untuk me­ningkatkan perolehan pengiklanan terutama dalam berdepan persekitaran operasi yang mencabar.

“Lembaga pengarah telah pun meneroka beberapa peluang (termasuk mempelbagaikan perniagaan baharu di luar sektor media), bagi mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan,” katanya.