Menurut BHB, prestasi kukuh yang direkodkan itu di­terjemahkan kepada pulangan ke atas ekuiti tahunan (ROE) pracukai sebanyak 20.9 peratus dan ROE selepas cukai pada kadar 15.2 pe­ratus berbanding pesaing dalam industri.

BHB berkata, keuntungan bersih kumpulan kepada pemegang saham turut melonjak 12.1 peratus atau RM50.6 juta kepada RM470.2 juta bagi sembilan bulan tahun ini.

“Bagi segmen perbankan Islam, Kumpulan Bank Islam turut mencatatkan lonjakan PBZT sebanyak 9.2 peratus atau RM49.9 juta kepada RM591.3 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2017.

“PBZT bagi segmen takaful pula merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10 peratus berjumlah RM197.6 juta didorong oleh pendapatan yuran wakalah lebih tinggi yang hadir daripada pertumbuhan perniagaan kukuh dalam takaful am.

“Perolehan operasi Kumpulan Takaful Malaysia turut meningkat sebanyak 6.5 peratus kepada RM1.62 bilion daripada RM1.52 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama 2016 dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh jualan lebih tinggi perniagaan taka­ful keluarga dan takaful am,” jelas syarikat berkenaan dalam kenyataan di sini hari ini.

BHB berkata, Bank Islam juga terus mengekalkan pertumbuhan pembiayaan dengan aset pembiayaan bersih bagi tahun ke tahun naik 8 peratus atau RM3 bilion kepada RM40.1 bilion pada 30 September 2017.

Katanya, strategi bank untuk mengembangkan akaun pe­laburan telah berjaya menghasilkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak RM1.7 bilion daripada RM2.6 bilion pada September 2016 kepada RM4.3 bilion untuk tempoh sama tahun ini.

“Bank Islam dijangka terus memberi tumpuan kepada aspek 3D iaitu deposit, strategi pertahanan (deposit strategy) untuk mengimbangi pertumbuhan dan kualiti aset serta pendigitalan di samping menguruskan kecairan dan menggunakan modal secara cekap dalam operasi syarikat,” ujarnya.

Bagi segmen takaful, Kumpulan Takaful Malaysia akan terus memberi penekanan kepada empat bidang teras iaitu jangkauan perniagaan, ketangkasan operasi, daya saing kos dan keyakinan pemegang saham untuk meningkatkan lagi bahagian pasaran ke­seluruhannya di samping meningkatkan nilai pemegang saham.

“Kumpulan Takaful Malaysia akan secara aktif menggunakan platform digital menerusi portal jualan dalam talian dan inisiatif pemasaran bersepadu dalam talian sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat.

“Takaful Malaysia juga bersedia untuk mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan takaful keluarga melalui pelbagai aktiviti pengiklanan dan pemasaran serta mempromosi cadangan uniknya untuk memberi ganjaran 15 peratus kepada pelanggan takaful am yang tidak membuat tuntutan semasa tempoh perlindungan,” katanya.