Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd. Lutfi berkata, ia merupakan Dana Sukuk ESG dan Dana Sukuk Syariah pertama di dunia diluluskan di bawah panduan Pelaburan Mapan dan Bertanggungjawab (SRI).

Katanya, BIMB Investment menyasarkan syarikat dan individu melanggan dana itu pada nisbah 50:50 dalam masa sama mengharapkan kebanyakan pe­laburan berada dalam denominasi ringgit.

“Dana Sukuk ESG BIMB memberi pilihan kepada pelabur untuk mempelbagaikan pelaburannya dengan risiko yang rendah,” kata­nya dalam majlis pelancaran Dana Sukuk ESG BIMB di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BIMB Investment, Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff.

Dana yang ditawarkan oleh anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) menawarkan potensi pulangan tahunan yang stabil kepada pelabur runcit dan korporat.

Sukuk berkenaan ditawarkan dalam ringgit, dolar Amerika Syarikat (AS) dan dolar Singapura pada harga 0.25 sen seunit bagi tempoh bermula 1 Ogos hingga 21 Ogos ini.

Sementara itu, Nik Mohd. Hasyudeen berkata, Malaysia kini menerajui terbitan sukuk dari segi jumlah dan nilai.

“Malaysia sedang berkembang menjadi hab pelaburan lestari dan bertanggungjawab didorong oleh kedudukan terkemuka di peringkat dunia dalam kewangan Islam,” katanya.

Sehingga kini, BIMB Investment mempunyai aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM2.7 bilion.