Ketua Pegawai Eksekutifnya, Najmuddin Mohd. Lutfi berkata, ketika ini portfolio utama aset disumbangkan menerusi pendapatan tetap iaitu 70 peratus manakala selebihnya adalah ekuiti.

Katanya, BIMB Invest mempunyai perancangan untuk meningkatkan sumbangan menerusi portfolio ekuiti sehingga 50 peratus dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Dari segi pengenalan dana baharu pula, kita akan melancarkan lagi satu dana baharu tahun ini dengan fokus utama tetap diberikan kepada dana patuh Syariah dan ESG (Alam Sekitar, Kemasyarakatan dan Ketelusan Tadbir Urus).

“Malah, ia merupakan tumpuan kita sejak 2015 lagi. Dalam tempoh tiga tahun ini, dana ESG sahaja sudah mencatat AUM bernilai RM300 juta,” katanya di sini baru-baru ini.

BIMB Invest adalah anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam).

Pelancaran Dana Ekuiti BIMB-Arabesque Asia-Pacific Shariah-ESG bersama rakan strategiknya, Arabesque Asset Management Holding Ltd, UK. baru-baru ini merupakan dana ketiga dalam siri Syariah-ESG.

Ia juga merupakan dana ekuiti Islamik Asia Pasifik yang pertama di Malaysia menggunakan data-data ESG dengan keupayaan menganalisis data besar.

Menurut Najmuddin, pihaknya amat optimis dengan prospek pertumbuhan ekonomi tahun ini dengan mengambil kira pasaran domestik yang kukuh dan Malaysia mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang stabil.

“Selain itu, kita juga melihat faktor-faktor lain termasuk dari segi pemulihan harga minyak global, pengukuhan ringgit dan juga aliran kemasukan pelaburan ke negara ini yang akan terus mendorong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Ditanya mengenai dana Islamik, beliau berkata, setakat ini, terdapat 250 dana Islamik di negara ini dan ia dilihat mencukupi dalam memenuhi keperluan pasaran tetapi perlu dinilai dari segi prestasi, pulangan dan risiko pelaburan.

Namun, katanya, kebanyakan dana itu termasuk yang berbentuk konvensional masih diuruskan secara tradisional oleh pengurus dana sedangkan ia menuntut penggunaan teknologi bagi memudahkan pemprosesan data dijalankan.

“Soalnya, bukan sama ada ia sudah mencukupi atau tidak atau sama ada dana Islamik ataupun tidak kerana ia tidak menjanjikan pulangan terbaik. Yang menjadikan ia mampu mencatat pulangan terbaik adalah dari segi pengurusan pelaburan dan proses pelaburan.

“Atas sebab itu penggunaan teknologi amat penting kerana membolehkan kita memproses banyak data. Ini memandangkan kebanyakan data Islamik dan konvensional di negara ini diuruskan secara tradisional oleh pengurus dana,” katanya.