Zukri Samat

Pendapatan juga meningkat kepada RM919.64 juta berbanding RM890.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya manakala keuntungan sebelum zakat dan cukai meningkat 15.8 peratus kepada RM246.2 juta berbanding RM212.5 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BHB, Datuk Seri Zukri Samat berkata, subsidiari utama iaitu Bank Islam dan Takaful Malaysia mengekalkan momentum keuntungan pada suku pertama 2017 untuk memberikan keuntungan yang kukuh kepada kumpulan.

“Kami percaya, dengan mengekalkan tumpuan kepada kekuatan strategik dan pengekalan momentum positif ini, subsidiari kami berjaya mengemudi kumpulan untuk mencatatkan satu lagi rekod keuntungan seperti tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2017, keuntungan sebelum zakat dan cukai Bank Islam meningkat 9.7 peratus kepada RM192.1 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Portfolio pembiayaan bank terus meningkat dengan aset pembiayaan bersih mencatat peningkatan tahun ke tahun sebanyak 12.8 peratus untuk mencecah RM39.8 bilion pada penghujung suku tahun.

Pada penghujung Mac 2017, deposit pelanggan dan akaun pelaburan (CASA) adalah RM47.6 bilion dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak RM6 bilion.

Takaful Malaysia pula mencatat keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM72.6 juta, meningkat 24.7 peratus berbanding RM58.2 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong oleh pendapatan fi wakalah yang lebih tinggi.

Hasil operasi pula meningkat 4.2 peratus kepada RM659.8 juta daripada RM633.2 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu. Peningkatan tersebut disebabkan jualan kedua-dua perniagaan Takaful Keluarga dan Am.

Takaful Keluarga mencatat perolehan kasar sebanyak RM327.2 juta berbanding RM288.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu manakala Takaful Am pula merekodkan perolehan kasar RM143.4 juta berbanding RM138.1 juta.