Setelah memasuki alam universiti, minat tersebut telah berubah daripada bekerja di bawah majikan kepada bekerja sendiri. Daripada situ lahirnya perniagaan membuat button badge yang dijalankan sendiri oleh saya sepanjang belajar di UPM.

Dari segi pendidikan pula, saya merupakan pelajar Bacelor Sains dan Teknologi Makanan. Tambahan pula, saya juga bergiat aktif dalam semua aktiviti yang dijalankan di UPM dengan memegang jawatan seperti pengarah, timbalan pengarah, setiausaha dan ahli jawatankuasa dalam semua persatuan dan program.

Pada tahun kedua pula saya memegang jawatan sebagai Sekretariat Alumni dan Komunikasi Korporat dalam Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Tun Perak, UPM. Saya juga pengarah untuk program mobiliti yang dijalankan pihak kolej di UPM iaitu ke Indonesia dan Jepun.

Rentetan daripada kesibukan mengikuti pelbagai program di UPM, saya mendapat satu idea bisnes iaitu perniagaan button badge. Perniagaan ini merupakan perniagaan pertama saya yang mana pelanggan-pelanggan saya terdiri daripada pelajar-pelajar UPM yang menempah button badge sebagai cenderamata untuk program mereka.

Walaupun menguruskan semuanya sendiri, itu tidak menjadi penghalang untuk saya meluaskan lagi perniagaan saya selain di UPM, malah di universiti-universiti di seluruh Malaysia.

Alhamdulillah sepanjang menjalankan perniagaan button badge ini tidak pernah sekali pun masa untuk belajar dan menyiapkan tugasan sendiri mahupun kumpulan terganggu. Ini kerana, saya akan menyusun semua kerja yang ada terlebih dahulu dan memastikan siap mengikut waktu yang ditetapkan. Jadi, tidak ada sebarang kerja yang akan tertinggal dan terlepas pandang.

Menjadi seorang pelajar dengan pengambilan kursus yang agak susah, bagi saya tidak mematikan semangat untuk terus menjalankan perniagaan kerana suka memenuhkan hari dengan menjalankan perniagaan selain daripada belajar.

Perniagaan ini juga sedikit sebanyak mengajar saya untuk berkomunikasi dengan baik dengan pelanggan di samping mengajar saya untuk sentiasa melakukan semua kerja dengan tekun dan teliti. Ramai pelanggan saya terdiri daripada pelajar dan memudahkan saya untuk memahami kehendak mereka.

Antara cabaran yang dihadapi ketika saya menjalankan perniagaan ini apabila ada ketikanya menerima tempahan yang terlalu banyak dalam masa yang terlalu singkat. Secara jujur bukan mudah untuk menjalankan perniagaan seorang diri terutama ketika sedang belajar dan disebabkan itu saya terpaksa mengorbankan masa untuk diri sendiri, keluarga dan rakan.

Tetapi oleh kerana terlalu minat dan suka melakukan kerja yang boleh mendatangkan wang, saya tidak pernah berputus asa dalam perniagaan mahupun pelajaran dan sentiasa berusaha memperbaiki segala kekurangan untuk memudahkan saya menghadapi hari-hari mendatang.

Untuk perancangan yang akan datang, saya berhasrat meluaskan lagi perniagaan button badge saya dengan menawarkan peluang pekerjaan terutama kepada pelajar-pelajar yang ingin menimba pengalaman dalam dunia perniagaan dan saya boleh fokus untuk mencari lebih banyak keuntungan.

Selain itu, saya juga berhasrat untuk mendapatkan lebih banyak tempahan dan projek-projek besar daripada pelanggan dengan memperbanyakkan lagi iklan mengenai perkhidmatan button badge saya di Malaysia.

Nurhadaina Zainuddin adalah Alumni Fakulti Sains dan Teknologi Makanan UPM