Pengarah Urusannya, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor berkata, semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 lalu beberapa pihak telah menunjukkan minat terhadap beberapa projek BHIC.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak boleh mendedahkan secara terperinci dengan siapa mereka sedang membuat perbincangan.

“Kami mempunyai pengalaman dalam pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia de­ngan kos yang kompetitif. Oleh itu, mereka merasakan kos yang dilibatkan untuk membina LCS sangat berpatutan dan mempunyai kualiti setanding syarikat pembuatan terkemuka lain.

“Ketika ini hanya kontrak de­ngan China yang telah disahkan,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat agung tahunan BHIC di sini hari ini. Yang turut hadir Pengerusi BHIC, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Pengarah Bahagian Pertahanan dan Kese­lamatan BHIC, Anuar Murad.

Tambah Ahmad Ramli, sehingga Disember lalu kontrak dalam tangan BHIC berjumlah RM7.5 bilion.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM6.3 bilion disumbangkan oleh syarikat bersekutunya, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.

“Selapas ini fokus akan diberikan kepada bidang pembuatan kapal berbanding membaiki dan menyelenggara kapal.

“BHIC juga bercadang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pelanggan-pelanggan komersial dan memberi lebih tumpuan kepada kontrak-kontrak kerajaan,” jelasnya.