Ketua Pegawai Eksekutif Air­Asia Berhad, Riad Asmat berkata, ini kerana setiap pesawat berlepas dan mendarat sudah terjadual dan bila sesuatu penerbangan tergendala atau lewat, ia pasti me­ngakibatkan kos kepada syarikat.

Menurutnya, AirAsia ada 80 pesawat beroperasi dalam sehari dan jika berlaku penerbangan tergendala, ia pasti mendatangkan kesan domino kepada keseluruhan operasi.

“Standard Prosedur Operasi (SOP) kami ialah 25 minit untuk melakukan pusingan iaitu dari masa penumpang keluar dari pesawat dan kemudian penumpang baharu masuk sebelum pesawat berlepas semula,’’ kata Riad kepada Utusan Malaysia di RedQ, ibu pejabat AirAsia di sini baru-baru ini.

Riad berkata, pihaknya memiliki teknologi yang memantau pergerakan setiap pesawat yang akan mencatatkan sesuatu penerbangan yang tergendala.

“Pihak kami akan menyiasat kes tersebut bagi mengetahui punca. Seandainya ia di dalam bidang kawalan kami, ia akan dita­ngani bagi mencari penyelesaian.

“Cuma, orang ramai tidak sedar bahawa operasi AirAsia juga tertakluk kepada faktor-faktor lain seperti pihak berkuasa lapangan terbang dan paling besar, faktor alam. Jika berlaku cuaca buruk seperti hujan lebat atau ribut, tiada pesawat dibenarkan berlepas atau mendarat,” ujarnya.

Secara umumnya ujar beliau, kelewatan atau tergendala berkait rapat dengan aspek keselamatan.

“Tidak benar tanggapan mengatakan kami sengaja menangguhkan penerbangan disebabkan pesawat tidak penuh, lalu digabungkan dengan pe­nerbangan seterusnya. Setiap pesawat sudah dijadualkan di lapangan terbang. Jika tergendala, kami menanggung beban kos,” katanya.

Awal bulan lalu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) melaporkan aduan terhadap Air­Asia menurun sebanyak 23.9 pe­ratus.

“Kami mengambil serius laporan Mavcom kerana ia juga memberi kesan kepada keseluruhan perkhidmatan yang diberikan oleh AirAsia. Sememang­nya mat­lamat utama kami ialah memberikan kepuasan mutlak kepada para pelanggan kami,” ujar beliau.

Dalam konteks ini katanya, AirAsia menggunakan NPS (Nett Passenger Care) yang mendapatkan maklum balas penum­pang sama ada berpuas hati atau tidak dengan penerba­ngan yang mereka naik.

“Ini seiring dengan mandat pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang menekankan kepentingan AirAsia memberikan perkhidmatan yang ‘membahagiakan pelanggan’. Jadi soal penerbangan tergendala adalah suatu isu besar kepada kami,” ujar Riad.