Tetapi sebagai sebuah jenama korporat, pantang-larang yang ada jauh lebih banyak sebenarnya. Kita tidak boleh terlalu formal, nanti kita akan dilihat sebagai satu organisasi yang old school. Atau kita tidak boleh terlalu kasual, nanti kita akan dilihat sebagai jenama yang tidak serius dan profesional.

Kita juga tidak boleh sesuka hati memarahi atau mengutuk orang lain, nanti kita akan dilihat sebagai jenama yang terlalu beremosi. Walau apa pun permainan media sosial untuk syarikat anda, hanya anda sahaja yang tahu pantang-larang apa yang sesuai dengan industri dan pasaran dengan lebih terperinci, dan bukannya orang lain. Berikut adalah sedikit panduan yang boleh anda gunakan.

Selain mengetahui tentang apakah pantang-larang yang ada, kita juga perlu tahu mengapa kita tidak boleh tidak mesti mengikut pantang-larang yang ada. Apa yang penting sangat tentangnya, apakah strategi yang boleh kita gunakan dan implikasi yang bakal terjadi sekiranya kita mengikutinya?

* Apakah pantang-larang yang ada?

Terdapat beberapa pantang-larang yang perlu dipatuhi jika kita mengendalikan media sosial untuk syarikat atau sesuatu jenama tertentu. Pertama, kita tidak boleh berinteraksi sebagai seorang individu dengan individu yang lain. Sebaliknya kita perlu berinteraksi sebagai wakil sebuah organisasi dan ini menjadikannya sedikit rumit.

Kerumitannya ialah kita tidak boleh terlalu formal atau terlalu kasual, tidak boleh menunjukkan sebarang emosi yang negatif, tidak boleh marah atau menyindir, tidak boleh mengutuk mana-mana individu atau organisasi lain, tidak boleh berkongsi sesuatu yang sensitif terutamanya hal yang melibatkan keagamaan, perkauman dan politik; tidak boleh terlalu berjanji tetapi sering gagal melaksanakan janji tersebut akibat kelemahan dalaman syarikat, tidak boleh terlalu bercerita tentang hal-hal dalaman syarikat kerana pesaing boleh menghidu strategi anda dan akhir sekali tidak boleh terlalu menjual, nanti orang akan menyampah.

* Jadi apakah yang kita boleh lakukan?

Strategi penting yang boleh kita gunakan di sini ialah kekalkan fokus, usaha dan kreativiti kita kepada hanya perkara yang penting iaitu yang berkaitan dengan jenama kita, industri kita dan jawapan kepada mengapa mereka perlu membeli daripada kita dan bukannya orang lain. Ini perlu dilakukan tanpa mereka sedari.

Tidak kira sama ada kita adalah satu jenama yang baru meningkat naik ataupun yang telah lama menapak, kita perlu berinteraksi secara profesional, sentiasa berinteraksi dengan fakta, keluarkan fakta tersebut dengan cara yang tidak membosankan, tidak menunjukkan sebarang reaksi sebagai individu tetapi memberikan reaksi secara ilmiah dengan fakta yang ada, sentiasa berkongsi status-status yang boleh dipelajari, kekalkan rahsia syarikat anda dengan hanya fokus kepada jenama anda, industri anda dan mengapa memilih jenama anda tanpa perlu terlalu menjual. Ingat, luahkan hanya yang penting dan tidak terlalu menjual.

* Kenapa semua ini wujud?

Kita perlu mengambil hati para pengguna di luar sana. Kita tukarkan status mereka daripada hanya memerhati daripada jauh kepada menjadi pelanggan yang berbayar. Mereka perlu menggunakan produk dan perkhidmatan kita. Jadi terlalu penting bagi kita untuk membuatkan mereka menyukai jenama kita, memahami jenama kita, sentiasa berinteraksi dengan jenama kita, menjadi penyokong kuat jenama kita, menjadi pelanggan berbayar yang terus menggunakan jenama kita dan menjadi benteng hadapan sekiranya jenama kita ‘diserang’.

* Implikasi yang bakal wujud sekiranya kita mengikuti pantang-larang ini?

Besar implikasinya. Jenama anda akan mempunyai jumlah komuniti besar yang sentiasa dekat dengan anda. Mereka berpihak kepada anda dan sentiasa percaya setiap apa yang anda kongsikan. Mereka tahu anda tidak suka menjual produk dan perkhidmatan anda kepada mereka, tetapi sentiasa berkongsi idea tentang bagaimana untuk mereka maju ke hadapan dan menghadapi masalah kehidupan mereka dengan produk dan perkhidmatan anda.

Apabila pasaran melihat jenama anda sebagai satu jenama yang mesra ‘alam’, dengan sendirinya produk dan perkhidmatan anda akan laku.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti pandangan beliau di azleen.com