Asalnya perjalanan ke menara gading, saya berhasrat untuk menjadi seorang yang pakar dalam teknologi makanan, penyelidik ataupun seorang pegawai makanan halal. Namun setelah menjadi graduan saya menolak beberapa tawaran be­kerja gara-gara terlalu minat de­ngan bidang keusahawanan ini.

Bermula dengan menjual kek coklat moist di kolej kediaman sekitar UPM, terdetik dalam hati untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang usahawan setelah tamat pengajian. Atas desakan kehidupan di universiti, tambah lagi perbelanjaan kehidupan di tengah-tengah bandar ini agak tinggi, saya mula serius terlibat dalam penjualan kek coklat itu.

Masakan tidak, perlu menanggung kos sara hidup dari segi kos sewa rumah, kos perjalanan dan kos sewa beli pinjaman kereta. Pada awalnya saya hanya menjual di kolej-kolej secara terus kepada pelanggan. Kemudian, saya mempunyai ejen yang menjual di setiap kolej kediaman.

Saya memberi harga borong kepada ejen supaya mereka dapat menjana pendapatan sam­pingan melalui jualan coklat moist tersebut. Saya juga menjual secara pukal di sekolah-sekolah serta mempunyai ejen dalam kalangan pelajar sekolah.

Saya mengajar mereka cara bagaimana untuk menjual kek dan menguruskan kewangan dalam perniagaan. Atas dasar pengalaman ini, saya mula rasa seronok apabila dapat memegang duit atas usaha sendiri.

Namun ia tidak terhenti di situ sahaja. Saya mula menyertai bengkel-bengkel keusahawanan yang boleh meningkatkan kapasiti saya sebagai seorang usahawan yang berjaya. Pentingnya mempunyai ilmu jika ingin terus melangkah besar dalam dunia keusahawanan ini.

Daripada bengkel-bengkel tersebut kita akan dapat mempelajari pelbagai ilmu seperti ilmu pemasaran, ilmu pengurusan bisnes dan lain-lain lagi.

Dalam dunia perniagaan, ja­ringan sesama usahawan atau networking sangat penting supaya perniagaan kita boleh berkembang maju. Dengan melibatkan diri dan aktif dalam beberapa persatuan seperti Persatuan Usahawan Muda Muslim Malaysia (PUM3), Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM), Persatuan Tube Pahang (Patuh) dan beberapa jaringan serta akademi usahawan seperti Technopreneur Training Aca­demy (Tentra) memberi satu ruang jaringan kepada saya untuk bertukar idea, berkongsi pengalaman sebagai usahawan serta menjalin ukhwah sesama usahawan.

Di samping itu juga, melalui jaringan ini saya mendapat beberapa projek yang inginkan bekalan coklat moist saya. Sungguh dan benar hadis ‘bahawasa­nya dengan silaturrahim dapat menambah rezeki’ sesungguh­nya rezeki Allah itu sangat luas.

Bak kata Robert T. Kyosaki dalam bukunya Cashflow Quadrant pula, sekarang saya berada di fasa quadrant B (Business) yakni saya sedang menguruskan sebuah cafe di UPM iaitu Asian & Western Fusion Cafe dan juga bisnes teknologi iaitu Misatech PLT dalam mengkomersialkan Misai Kucing Extraction untuk suplemen kesihatan dan juga kosmetik.

Kalau dahulu, semasa di zaman sekolah dan universiti saya berada di quadrant S (Self-employee) dan sekarang masih di fasa quadrant B. InsyaAllah 5 tahun ke hadapan impian saya untuk berada di fasa quadrant I (Invest).

Semoga kita dapat menjadi usa­hawan yang bukan sahaja untuk kekayaan sendiri, malah untuk orang lain dengan berinfaq. Atas sebab fokus saya dalam bisnes ini adalah untuk menjadi kaya-raya supaya dapat membantu orang yang lebih memerlukan.

Maliana Musa adalah Alumni Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM.