Bagi saya, tiada istilah kelemahan diri, sebaliknya setiap yang Allah jadikan itu ada hikmahnya dan satu daripada hikmahnya adalah bertujuan untuk saling melengkapi antara satu sama lain.

Kebolehan mengenal pasti potensi diri dan juga potensi orang lain adalah sangat pen­ting kerana dengan cara ini kita boleh mencipta satu sistem perniagaan yang tidak penat malah menguntungkan.

Kesibukan sebagai seorang pelajar membataskan seseorang itu untuk menjalankan perniagaan yang melibatkan operasi seperti penyediaan makanan, menjahit pakaian dan sebagainya.

Kebanyakan masa perlu diperuntukkan untuk menghadiri kelas, menyiapkan tugasan, projek dan aktiviti kolej.

Mengenal pasti potensi diri sebagai seorang yang boleh mengurus sesuatu program atau perkara, saya menggunakan kelebihan ini dengan menggunakan kepakaran orang lain untuk mencipta perniagaan saya sendiri iaitu Cikgu Ayu Home Tutor.

Cikgu Ayu Home Tutor menawarkan khidmat belajar secara one-to-one coaching yang efektif dengan pemantauan secara berterusan di rumah yang meliputi subjek UPSR, PT3, SPM dan al-Quran.

Saya mengumpul dan menggunakan kepakaran cikgu-cikgu untuk mengajar setiap subjek yang berlainan mengikut kebolehan mereka masing-masing. Antara cabaran mengendalikan perniagaan tutor di rumah ini termasuk:

* Persaingan Tempat

Faktor pemilihan tempat untuk mendapatkan pelanggan adalah satu cabaran bagi mengendalikan perniagaan ini. Semuanya bergantung kepada siapa sasaran pelanggan yang kita mahukan.

Sudah ramai yang menjalankan perniagaan tutor di rumah ini di sekitar Serdang, Putrajaya, Bangi dan Sri Kembangan terutamanya oleh syarikat-syarikat tuisyen lain yang sudah lama bertapak di kawasan ini.

Namun, ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus bersaing mendapatkan pelanggan di kawasan ini kerana bagi saya, setiap perniagaan ada keunikan mereka tersendiri dan itulah yang saya cuba lakukan pada Cikgu Ayu Home Tutor, iaitu menekankan keunikan dan faedah yang bakal mereka dapat jika menggunakan perkhidmatan kami ini.

* Persaingan Harga

Perkara yang paling penting dalam bidang perniagaan ber­asaskan pendidikan ini adalah prestasi dan peningkatan tahap pencapaian akademik anak-anak setiap pelanggan.

Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan perniagaan ini, para ibu bapa sebenarnya tidak kisah dari segi bayaran dan harga yang dikenakan kerana yang paling penting bagi mereka adalah hasil pembelajaran itu sendiri dan semestinya mereka mahukan peningkatan tahap akademik anak-anak mereka tanpa terlalu berkira berapa yang harus dikeluarkan dan dibelanjakan demi kepenti­ngan anak-anak mereka.

Walau bagaimanapun, saya tetap bersaing dari segi harga dengan pengusaha-pengusaha yang lain kerana ada yang meletakkan harga terlalu rendah dan ada juga yang meletakkan harga terlalu tinggi.

* Kerenah Pelanggan

Kebanyakan pelanggan datangnya daripada orang yang berpendapatan tinggi dan bekerjaya. Mereka tidak mempunyai masa untuk mengajar sendiri anak mereka di rumah, justeru mereka telah mengambil inisiatif untuk mendapatkan khidmat tutor di rumah untuk mengajar anak-anak mereka.

Bagi mereka, peningkatan tahap pencapaian anak-anak mereka adalah yang paling penting dan mereka tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengeluarkan wang. Namun begitu, setiap pelanggan mempunyai kerenah dan kemahuan masing-masing. Saya menjadikan kerenah pe­langgan ini sebagai satu sumber untuk saya menambah baik dan mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan saya selain menganggap ia sebagai asam garam dalam dunia perniagaan.

Norfatiha Muhamad Sukri Pelajar Tahun 4 Bacelor Sains dan Teknologi Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia