Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Berjaya Corp, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun berkata, segmen runcit akan meraih manfaat daripada ringgit yang mengukuh berban­ding dolar Amerika Syarikat (AS).

Katanya, faktor positif lain termasuk persekitaran ekonomi yang bertambah baik dan potensi kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.

“Nilai jualan perniagaan runcit Berjaya Corp menyaksikan pertumbuhan stabil ketika ini dan kami menjangkakan ia boleh terus meningkat tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran One2pay di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Mara Corp, Datuk Dr. Yusof Yacob dan Ketua Pegawai Eksekutif MOL Global Inc., Preecha Praipattarakul.

MOL AccessPortal Sdn. Bhd. (MOL), anak syarikat MOL Global melancarkan aplikasi dompet mudah alih, One2pay yang dipantau oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Vincent merupakan pemegang saham majoriti di dalam MOL Global.

Dalam memperluaskan penggu­naan One2pay, MOL bekerjasama dengan Mara Corp bagi memperkukuh strategi ekosistem pengguna meliputi komuniti perniagaan dalam kalangan bumiputera.

Sementara itu, menurut Preecha, pihaknya menyasar memperluaskan aplikasi One2pay ke 6,000 titik sentuh penerimaan dalam tempoh setahun.

Beliau berkata, 7-Eleven Malaysia merupakan peruncit pertama menerima aplikasi One2pay dan ia adalah satu pencapaian pen­ting kepada syarikat untuk menyokong aspirasi Malaysia menjadi masyarakat tanpa tunai.

“Menjelang 17 Januari ini semua 2,218 kedai 7-Eleven di seluruh Malaysia akan menerima One2pay,” katanya.