Bellew dilaporkan akan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi pada 1 Disember ini dan bertanggungjawab terhadap operasi pesawat, kejuruteraan dan pengendalian di bahagian darat tetapi lebih khusus kepada melahirkan juruterbang, latihan dan pembangunan karier.

Dalam masa sama, beliau juga bertanggungjawab untuk memastikan kegagalan yang dibuat oleh juruterbang Ryanair sebelum ini pada awal September lalu tidak berulang.

“Saya amat teruja untuk kembali ke Ryanair dan mengambil cabaran ini untuk memastikan operasi berkembang dengan le­bih mapan. Saya melihat untuk be­kerjasama dengan semua pasukan dan krew yang saya kenali dengan baik selama ini untuk membantu perkembangan Ryanair mencapai 600 pesawat dalam tempoh enam tahun akan datang,” katanya dipetik dalam laman web Ryanair.

Bagaimanapun, menurut Ke­tua Pegawai Eksekutif Ryanair, Michael O’Leary, Bellew akan me­ngetuai pelan transformasi dan berhubung dengan semua juruterbang Ryanair bagi mening­katkan persekitaran kerja dan pembangunan kerjaya pada masa akan datang.

“Ini memandangkan kami akan mengembangkan jumlah pe­­sawat kepada 600 buah dan memper­luaskan laluan trafik kami, dengan kadar tambang lebih rendah kepada 200 juta pelanggan setahun,” katanya.

Kepulangan Bellew ke pangkuan Ryanair dibuat berikutan Michael Hickey melepaskan jawatannya selepas kontroversi syarikat pe­nerbangan itu yang mahu mem­b­a­talkan penerbangan sehingga Mac 2018 disebabkan kesilapan dalam amalan juruterbang syarikat.

Bellew dalam sidang akhbar 27 September lalu menafikan khabar angin bahawa beliau akan menyertai semula syarikat penerbangan tambang rendah dari Ireland itu sebaliknya menyifatkan berbangga menjadi sebahagian daripada transformasi MAB.

Malah, anak kelahiran Ireland itu juga tidak menyangka akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif apabila mengambil keputusan menyertai Malaysia Airlines sebagai jawatan itu dikosongkan berikutan peletakan jawatan Christoph Muller. Bellew telah dilantik sebagai CEO MAB pada 1 Julai 2016.

“Saya berasa bangga menjadi sebahagian daripada MAB. Lebih lama saya di sini, semangat saya semakin berkobar dengan kerja yang saya buat. Saya amat gembira berada di sini dan ini akan menjadi pencapaian terhebat dalam hidup saya jika saya berhasil memulihkan syarikat penerbangan ini,” katanya.

Ryanair ditubuhkan pada 1984 di Swords, Dublin.

Bellew bertugas selama se­dekad di Ryanair sebelum me­nyer­­tai MAB pada akhir 2015 sebagai Ketua Pegawai Operasi sebelum dinaikkan pangkat sebagai CEO pada pertengahan 2016.

Semasa bekerja dengan Rya­nair, beliau memegang pelbagai jawatan merangkumi bahagian operasi, latihan, jualan dan pemasaran sekali gus memberi pendedahan yang luas kepada pendekatan Michael O’Leary yang unik dalam mengendalikan syarikat penerbangan.