Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Ashran Ghazi berkata, pa­meran tersebut menyasar untuk memupuk tingkah laku membeli dalam kalangan masyarakat, termasuk sektor swasta dan awam dengan logo cap dagang bagi barangan dan perkhidmatan daripada IDE yang diiktiraf.

Katanya, usaha itu membantu memberikan maklumat kepada pengguna sambil menggalakkan mereka menggunakan kuasa beli sama ada sebagai individu atau organisasi untuk mewujudkan kesan positif yang membantu komuniti tempatan dengan lebih meluas.

“Beli untuk Impak adalah untuk mencapai masa depan yang mana setiap perniagaan berusaha ke arah kebaikan. Kita dapat membantu pengguna dengan wang yang dibelanjakan kepada IDE akan menyum­bang kepada sokongan komuniti seperti bakat tempatan.

“Di MaGIC, kami ingin mewujudkan ekonomi inklusif yang mana tiada seorang pun di Malaysia akan ketinggalan, malah mereka dapat membantu memacu manfaat dalam jangka masa panjang untuk masyarakat dan persekitaran.

“Kami mahu mencabar individu dan organisasi untuk memikirkan daripada mana datangnya pembelian mereka serta apakah tujuan dan sumbangannya dengan mewujudkan impak, satu pembelian pada satu masa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ashran berkata, lebih 3,000 pengunjung menghadiri pameran yang berlangsung selama dua hari di pusat beli-belah Publika, hujung minggu lalu.

“Sebanyak 20 IDE mempamerkan produk mereka pada pameran ini antaranya Biji-Biji, Temui Muaythai, Projek Picha, Greenyardsm Walter Barbershop, Silent Teddies serta Batik Boutique,” katanya.