Adalah benar iaitu bermula dengan modal pelaburan kecil dahulu lebih-lebih lagi jika membeli saham-saham syarikat tersenarai di pasaran terbuka. Ini memandangkan saham-saham sedia ada tersenarai di papan Bursa Malaysia terdiri daripada pelbagai jenis dan harga.

Ada yang harganya agak mahal melebihi RM5 dan ada juga kurang daripada 10 sen. Jika anda membeli saham yang harganya 10 sen untuk 1,000 unit saham, maka harganya ialah RM100.

Ini tidak termasuk lain-lain kos yang dikenakan oleh pihak broker dan Bursa Malaysia. Sekiranya anda membeli menggunakan khidmat wakil peniaga berdaftar, caj pembrokeran yang dikenakan adalah berbeza dengan yang membuat jual dan beli sendiri dalam talian.

Jumlah minimum

Untuk pengetahuan pembaca, jumlah minimum unit saham yang dibenarkan untuk membeli saham syarikat terse­narai di Bursa Malaysia ialah 100 unit. Jika anda membeli saham berharga 10 sen bagi 1,000 unit, ini bermakna bagi 100 unit saham ialah RM10 sahaja tidak termasuk lain-lain kos.

Walaupun Bursa Malaysia meletakkan had minimum dalam pembelian unit saham, adalah tidak praktikal membeli saham dalam jumlah lot atau unit terlalu kecil. Ini kerana jumlah lot atau unit yang kecil atau kurang daripada jumlah minimum hanya merugikan dari segi pembayaran komisen beli dan jual dan lain-lain kos seperti yuran scan.

Sekiranya membeli saham dalam jumlah unit terlalu kecil, pelabur menghadapi kesukaran untuk menjual saham apabila harga saham tersebut naik kerana pelabur perlu menunggu harga saham tersebut naik dengan banyak dan dapat menampung kos beli dan jual saham.

Saham murah

Ini berbeza dengan pelabur atau pedagang saham yang membeli saham dalam jumlah unit lebih besar sedikit atau bersamaan jumlah minimum ditetapkan iaitu bernilai RM6,000.

Dengan sedikit kenaikan harga saham memudahkan pelabur dan pedagang saham aktif untuk menjana keuntungan dengan kadar lebih cepat berbanding pelabur yang terpaksa menunggu lebih lama lagi dan untuk tempoh masa lebih panjang.

Berdasarkan kaji selidik yang diperoleh Cikgu Saham serta maklum balas pengikut di Facebook, kebanyakan mereka yang baru mengenali dunia saham lebih tertarik membeli saham-saham murah.

Saham-saham murah ini ­biasanya terdiri daripada waran syarikat yang dibelakang namanya terdapat huruf seperti WA, WB, WC dan seterusnya.

Pelabur baharu

Selain daripada waran, saham-saham murah ini atau dipanggil sebagai penny stocks sangat-sangat digemari oleh pelabur runcit lebih-lebih lagi pemain baharu saham.

Kebanyakan mereka tidak mempunyai asas dalam ilmu analisis teknikal atau fundamental, kurang pengetahuan, pengalaman dan bimbingan serta melakukan urus niaga saham di dalam talian tanpa menggunakan khidmat wakil peniaga berdaftar.

Mereka membeli saham tanpa membuat kajian atau boleh dikatakan tidak mempunyai ilmu pelaburan tentang saham. Sebagai contoh, mereka membeli waran syarikat tersenarai semata-mata melihat kepada harganya yang murah tanpa mengetahui pengertian waran syarikat.

Malah, mereka juga tidak mengetahui sesuatu waran syarikat tersenarai mempunyai tarikh luput antara lima hingga 10 tahun termasuk harga kuat kuasa yang ditetapkan.

Kesilapan

Ini bermakna sekiranya seseorang itu membeli sesuatu waran, dia perlu menambah duit berdasarkan harga kuat kuasa untuk waran tersebut bertukar menjadi saham induk apabila waran itu tamat tempoh dan dinyah senarai daripada papan Bursa Malaysia.

Kesilapan pemain baharu membeli saham-saham waran ini seperti dinyatakan tadi me­rupakan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Terdapat juga pemain baharu yang gemar membeli saham mengikut saranan-saranan atau buy call.

Cikgu Saham pernah dihubu­ngi oleh beberapa orang pengikut di Facebook yang menanggung kerugian besar kerana mengikut saranan membeli waran hampir tamat tempoh masa.

Akibatnya, mereka mengalami kerugian teruk kerana mengikut kepercayaan sesete­ngah pihak yang menyatakan waran hampir tamat tempoh masa atau akan dinyahsenarai daripada papan Bursa Malaysia membuat lonjakan harga di saat akhir sebelum dinyahsenarai.

Kita sambung topik ini pada minggu hadapan.