Trend di dalam pasaran saham boleh didefinisikan sebagai pola atau corak pergerakan turun naik pasaran saham. Wa­­­lau bagaimanapun, ada se­te­ngah pihak mengatakan pergerakan mendatar bukanlah satu trend. Tetapi ada juga yang menganggap pergerakan mendatar atau sideways juga satu trend pasaran saham.

#Bagaimana kita hendak mengikut trend pasaran dalam jual beli saham?

Trend pasaran sama ada naik atau turun boleh dirujuk pada artikel saya yang lepas di bawah tajuk penggiliran sektor. Trend pasaran boleh jadi juga sektor-sektor bermusim yang diurus niagakan secara cergas. Maka, setiap sektor yang aktif dalam trend menaik secara bergilir-gilir perlu dimanfaatkan oleh pedagang saham yang aktif.

Sebagai contoh, pada minggu lepas trend kaunter-kaunter di dalam lingkungan harga 40 sen menunjukkan satu peningkatan harga yang sangat ketara. Harga saham syarikat-syarikat yang tidak patuh syariah juga naik dengan banyak walaupun tiada apa-apa pengumuman ataupun berita positif.

Trend turun naik ini juga perlu dimanfaatkan dan dipelajari oleh pedagang mahupun pelabur saham. Seandainya trend kenaikan adalah lama, maka pedagang saham perlu menunggu seketika untuk menjual saham seperti ungkapan yang berbunyi let the profit run. Biarkan harga saham naik jika carta saham belum lagi menunjukkan tanda-tanda ja­­tuh, iklim pasaran berada dalam sentimen yang positif sama ada faktor dalaman mahupun di pasaran global.

Di dalam ilmu analisis tek­nikal ada memberikan pembacaan atau petunjuk yang memberikan gambaran sebagai panduan bahawa sesuatu trend itu akan naik berterusan ataupun sudah hampir ke garisan penamat. Begitu juga keadaannya untuk trend menurun. Keadaan penurunan yang lama akan disusuli dengan satu pantulan teknikal dan seterusnya trend menaik akan menyusuli jika terdapat pembelian saham secara besar-besaran semasa harga rendah atau murah. Keadaan ini boleh dikaitkan dengan aktiviti pembetulan harga setelah pasaran saham berada pada kemuncak yang kemudiannya menarik minat pelabur membeli saham kerana setiap kejatuhan akan disusuli pula dengan kenaikan.

Semasa trend menurun, pelabur dan pedagang saham jangan terlalu ghairah membuat pembelian saham dengan anggapan harga saham adalah murah. Di dalam kajian analisis teknikal, sesuatu keadaan menurun akan turun lagi atau jika berlaku kejatuhan harga saham, ianya akan jatuh lagi untuk beberapa tempoh masa. Keadaan ini boleh berlarutan beberapa hari, beberapa minggu sehinggakan beberapa bulan. Maka, trend menurun ini perlu kita faham jika kita ingin mengaplikasikan ungkapan follow the trend.

Maka, jika kita akur dengan ungkapan tersebut, kita perlu bertindak selari dengan trend sama ada jatuh ataupun naik. Jika trend menurun, kita perlu tahu apa yang harus kita lakukan - sama ada mengamalkan sikap tunggu dan lihat atau membeli saham bila mana harga berada pada paras terlebih jualan atau semasa trend mula menaik.

Trend menaik pula perlu kita awasi kerana trend menaik boleh jadi hanya sehari, satu minggu ataupun satu bulan. Di dalam corak pasaran saham Bursa Malaysia, saya dapati trend menurun lebih lama daripada trend menaik sekiranya tiada apa-apa berita positif atau aktiviti-aktiviti yang merangsang pasaran saham tempatan. Trend menaik ini hanya terjadi selama lebih kurang empat bulan dan selebihnya adalah trend menurun yang lama. Tidak dinafikan pasaran modal negara perlu kemasukan pelabur asing un­­tuk merangsang pasaran saham tempatan. Sekiranya penyertaan daripada pelabur asing dan institusi tempatan agak memberangsangkan, maka tidak hairan trend menaik lebih panjang daripada trend menurun.

Pedagang saham aktif juga perlu bertindak pantas sekiranya suatu trend menaik tiba-tiba berubah arah. Maka, pendekatan cut loss untuk me­mi­nimumkan kerugian amat penting dalam situasi ini sebagai langkah melin­dungi modal pelaburan agar tidak menjadi semakin kecil. Pedagang saham juga perlu berwaspada membeli saham beberapa kali semasa trend menurun atau melakukan averaging down kerana kemungkinan harga yang turun merupakan petanda awal laporan kewangan syarikat berada dalam keadaan yang negatif.

Setiap keputusan yang dilakukan perlu dibuat kajian ter­­lebih dahulu untuk menghindar daripada melakukan kesilapan di dalam pelaburan saham.

PEMBACA yang ingin mendapatkan pembelajaran saham boleh hubungi Zuraida Mohd. Zakaria melalui e-mel [email protected]