Ketua Pegawai Eksekutif Scomi Group Bhd., Shah Hakim Shahzanim Zain berkata, syarikat akan melabur untuk membeli kapal pengendalian sauh dan kapal Panamax memandangkan harganya adalah berpatutan pada masa ini ekoran kelembapan ekonomi global.

"Kami tidak membeli sebarang kapal sejak tiga tahun lepas kerana harga kapal adalah mahal. Sekarang, harga sudah turun dengan begitu drastik dan kami akan melabur untuk sekurang-kurangnya dua buah kapal setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Kami melihat pada segmen yang berbeza, terutamanya kapal pukal kering dan kapal servis minyak dan gas. Pelaburan adalah antara AS$30 juta (RM108 juta) hingga AS$50 juta (RM180 juta) setahun sehingga 2011," kata Shah Hakim kepada pemberita menjelang majlis pecah tanah untuk projek monorel pertama India di Mumbai.

Scomi Engineering Bhd., bersama- sama dengan rakan konsortium Larsen Turbo (L&T), mendapat projek itu dari Lembaga Pembangunan Rantau Metropolitan Mumbai tahun lepas untuk membina lintasan sepanjang 19.5 kilometer bernilai RM1.85 bilion.

Scomi, yang mempunyai perniagaan di lebih 38 negara yakin dengan segmen minyak dan gas dan rancangan peluasan juga dalam perancangan, terutamanya di hemisfera timur yang mana syarikat mempunyai kepentingan besar.

Apabila harga minyak tinggi, banyak syarikat minyak mengurangkan perbelanjaan modal mereka tetapi dengan kejatuhan harga, mereka mula melabur semula, kata Shah Hakim. - Bernama