Wajib ada ilmu bisnes

Pada tahun 2014, saya mendapat tawaran daripada seorang kawan untuk bersama-sama membuka sebuah gerai di kafe kolej 17. Kami dengan penuh semangat pergi mendaftarkan syarikat atas nama Cendolicious Enterprise. Pada masa itu semangat berkobar-kobar tanpa ada ilmu mengenai cara pasarkan produk dan mengurus bisnes.

Pengalaman saya sebelum itu hanyalah bisnes menjual tudung secara offline. Perkara yang saya tahu hanya untuk memasarkan produk dengan cara membuat risalah kemudian sebarkan di semua blok kediaman dan fakulti. Tiada ilmu tentang FBads, mencetak iklan di bunting atau banner dan sebagainya. Bak kata orang, ilmu tak cukup lagi dah main redah saja.

Baru buka kedai di kolej 17 belum sampai satu semester dah rasa nak putus asa. Masalah yang saya hadapi ketika itu adalah santan selalu rosak, jualan sikit setiap hari, upah pekerja sambilan sentiasa mengalami masalah dan akhir­nya, kami membuat keputusan untuk menutup gerai tersebut.

Kemudian, saya kembali membuat bisnes secara tra­ding cuma kali ini bukan tudung tetapi kek coklat lembap atau singkatan CMC untuk Chocolate Moist Cake.

Pengajaran yang saya dapati adalah mencari ilmu terlebih dahulu jika tidak mahu mengalami kerugian di dalam bisnes. Jangan ingat bisnes hanyalah dengan ada barang nak jual dah boleh terus jadi kaya. Tanpa ilmu kita akan mengalami kerugian yang pertama.

Niat yang bersih

Pada 2015, saya telah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Alhamdulillah saya terselamat tetapi kereta saya rosak teruk akibat terbalik ketika kemala­ngan tersebut. Banyak duit yang diperlukan waktu itu.

Saya dibantu oleh beberapa rakan, mereka tidak mengumpulkan duit untuk saya melalui infaq kilat, tetapi dalam diam-diam rupanya mereka telah membuat jualan amal kek coklat lembap dan hasilnya sebanyak RM700 mereka telah hadiahkan kepada saya.

Bermula dari situ saya sedar bisnes ini bukan hanya untuk mencari duit semata-mata tetapi ia lebih daripada itu. Menggunakan rezeki yang Allah beri adalah untuk kita supaya lebih memberi dan bukan hanya untuk kegunaan diri sendiri.

Setelah itu, saya mengubah pendirian dan menyusun se­mula minda untuk tujuan apakah bisnes yang saya lakukan ini.

Mencari mentor dan guru

Belajar daripada kesilapan, saya mula menyertai beberapa kelas dan seminar. Seminar pertama yang membuka mata saya ialah kelas Abang Abu dan kelas Hellas Syahril dalam Youth Entrepreneurship Seminar anjuran Persatuan Usahawan Muda Muslim Malaysia.

Setiap apa yang kita lakukan sekarang akan ada orang yang telah melakukannya sebelum kita dan berkongsi pengalaman mereka untuk kita pelajari dan memantapkan diri dengan ilmu yang berguna.

Pada Jun 2015, saya telah berjaya meletakkan kek hampir di kesemua kolej dalam UPM. Saya juga ada menjual dari bilik ke bilik dan menjual kek di Tasik Sri Serdang apabila kek yang saya letakkan di setiap kolej masih berbaki.

Saingan sebagai KPI kepada bisnes sendiri

Pada 2015 juga, Anis Moist Cake adalah antara kek yang terhangat di pasaran. Saya meletakkan Anis Moist Cake sebagai KPI kepada bisnes kek saya. Saya telah menyertai pelbagai kelas untuk mendapatkan ilmu pemasaran seperti program yang CEM UPM anjurkan. Saya mula menjenamakan kek saya dengan logo sendiri.

Pada 2016, saya mula menggunakan sistem ejen. Kini, saya mempunyai seramai 30 orang ejen di pelbagai universiti se­perti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Matrikulasi Negeri Sembilan, Melaka dan lain-lain lagi.

Harapan saya selepas ini adalah untuk meluaskan lagi jajahan Kipidap Bakery House supaya kami dapat menyumbang lebih banyak lagi kepada umat dengan meningkatkan taraf hidup mereka dan sedikit manisan sebagai penyeri hidup dengan hidangan santapan daripada kami.

NUR EIZZATY HAZIRAH BT ZULKEFLI adalah Pelajar Tahun 4 Bacelor Sains (K) Kimia Perindustrian, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia.