Tempoh singkat boleh jadi dalam beberapa minit, jam mahupun hari. Tempoh lama pula boleh jadi beberapa bulan ataupun tahun.

Tidak dinafikan pelabur dan pedagang saham boleh mendapat kerugian daripada pembelian saham yang dibuat. Walau bagaimanapun, terdapat be­berapa kesilapan yang boleh dielakkan. Beberapa kesilapan yang mengakibatkan pelabur dan pedagang saham mengalami kerugian ialah seperti berikut.

* Menjual saham semasa harga saham turun atau cut loss pada saham yang dibeli tanpa asas. Tindakan ini dilakukan kerana seseorang pelabur atau pedagang saham berasa panik dalam suasana sentimen pasaran negatif atau semasa pasaran sedang mengalami aliran menurun. Perasaan panik ini menyebabkan pelabur dan pe­dagang saham mengambil tindakan terburu-buru dalam menjual saham.

* Tindakan menjual saham secara terburu-buru ini biasa­nya dilakukan tanpa terlebih dahulu membuat kajian dan semakan dari segi analisis teknikal dan fundamental.

Dan mereka juga tidak membeli saham yang lain yang lebih berpotensi untuk menggantikan saham yang telah dijual. Maka, apabila pasaran pulih, mereka merasa takut untuk membeli semula saham-saham yang telah naik. Akibatnya, mereka tidak dapat membuat keuntungan untuk menampung kerugian yang terdahulu.

* Terbeli saham yang telah dikategorikan dalam status PN17 yang berkemungkinan dinyah senarai daripada papan Bursa Malaysia.

Kadang-kala seseorang pe­labur atau pedagang saham tidak menyedari tanda yang diletakkan pada saham-saham yang berada di dalam kategori ini. Mereka membeli saham sebegini dengan melihat kepada harga yang murah lebih-lebih lagi yang mempunyai modal kecil.

* Membeli waran dan waran berstruktur yang hampir tamat tempoh matang tanpa menge­tahui erti sebenar waran dan waran berstruktur.

Mereka tidak mengetahui adanya harga kuat kuasa pada waran tersebut.

* Terdapat juga pelabur dan pedagang saham yang tidak mengetahui jenis-jenis saham yang didagangkan di papan Bursa Malaysia.

Mereka tidak mengetahui bahawa selain daripada saham-saham biasa, terdapat juga waran syarikat, waran berstruktur, terbitan hak, saham keutamaan dan sebagainya. Dan yang terbaharu ialah pasaran LEAP. Mereka membeli waran dan waran berstruktur ini tanpa menyemak bilakah tarikh luput waran tersebut.

* Menyimpan saham yang harganya semakin menurun di­sebabkan syarikat tersenarai mengalami kerugian saban tahun.

Ramai pelabur dan pedagang saham yang kurang memantau portfolio pelaburan mereka. Mereka juga tidak menyemak status kewangan saham-saham syarikat tersenarai yang telah dibeli sama ada syarikat tersebut masih mengekalkan status kewangan yang positif atau sebaliknya.

* Terdapat juga pelabur jangka masa panjang tidak mengambil tahu berita atau pengumuman yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat tersenarai.

Berita yang berbentuk ne­gatif boleh menyebabkan harga saham syarikat tersenarai semakin menurun. Sebagai contoh apabila sesuatu syarikat tersenarai tidak dapat menghantar laporan kewangan se­perti yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia, ia memberi petanda awal bahawa syarikat tersenarai tersebut berkemungkinan mengalami masalah dari segi prestasi kewangan.

Menyentuh tentang pelabu­ran jangka panjang, kadang-ka­la kita juga tidak dapat menjangkakan perubahan so­­-
sio-ekonomi atau pasaran komoditi yang akan memberi ke­san ke atas harga saham syarikat tersenarai yang didagangkan di Bursa Malaysia.

Sebagai contoh, semasa krisis pasaran minyak mentah dunia, kita tidak mengetahui bahawa dengan kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia telah menyebabkan kemerosotan pendapatan syarikat-syarikat tersenarai yang berkaitan minyak dan gas.

Penurunan harga minyak mentah dunia menyebabkan kerja-kerja penggalian serta pengeluaran minyak terpaksa dihentikan atau dikurangkan kerana kos operasi tidak dapat ditanggung oleh syarikat berkaitan minyak dengan susutnya pendapatan syarikat.

Dan sudah pasti ia merupakan satu faktor luaran yang sememangnya tidak dapat diramalkan oleh pemegang saham syarikat berkaitan minyak dan gas.

Ramai pelabur jangka masa panjang mengalami kerugian yang besar kerana membeli pada harga kemuncak sebelum kejatuhan minyak mentah dunia. Kerugian ini boleh jadi kerugian sebenar dan kerugian di atas kertas sekiranya mereka masih menyimpannya sehingga ke hari ini.

Dengan contoh kesilapan yang tersebut di atas tadi, diharapkan pelabur dan pedagang saham sentiasa berwaspada dan bijak memilih saham untuk pelaburan jangka pendek mahupun panjang.

Ini adalah kerana terdapat beberapa kesilapan yang boleh dielakkan sekiranya pelabur dan pedagang saham sentiasa peka dan bersedia dalam membuat pelaburan dan perdaga­ngan di pasaran saham.