Pengarah Urusan BDB, Datuk Izham Yusoff berkata, kedua-dua pembangunan bertemakan Life Series yang terletak di Jitra dan Sungai Petani tersebut bakal siap sepenuhnya dalam masa 10 tahun lagi.

Jelas beliau, Darulaman Saujana yang berkeluasan 82.15 hektar merangkumi 1,500 unit kediaman termasuk rumah mampu milik, town house, rumah berkembar, Semi-D dan lot banglo berharga RM45,000 hingga RM650,000 seunit selain menempatkan projek komersial dan pusat rekreasi.

Katanya, Darulaman Putra yang terletak di Sungai Petani pula berkeluasan 93.89 hektar dengan GDV RM1.6 bilion bakal menempatkan 1,620 buah rumah berharga RM300,000 sehingga RM1 juta yang bakal mempunyai taman botanikal wetland pertama di Kedah.

“Fasa pertama kedua-dua projek ini melibatkan 600 hingga 700 buah rumah mampu milik akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

“Kami yakin Darulaman Saujana dan Darulaman Putra bakal memberi pendapatan yang mapan kepada BDB bagi tujuh hingga 10 tahun akan datang,” katanya dalam sidang akhbar majlis pelancaran Darulaman Saujana dan Darulaman Putra serta majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri BDB di sini hari ini.

BDB adalah syarikat tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia milik Kerajaan Negeri Kedah yang ditubuhkan pada 1995 dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah merupakan pemegang saham terbesar dalam syarikat berkenaan.

Mengulas lanjut, Izham berkata kedua-dua projek berkenaan yang terletak berdekatan Lebuh Raya Utara-Selatan juga bakal mempunyai universiti, pusat beli-belah dan hospital sebagai sebahagian daripada infrastruktur dan fasiliti perbandaran.

“Kami terus komited menyediakan perumahan dengan reka bentuk pintar disokong oleh infrastruktur mapan khas buat generasi akan datang.

“Kedua-dua projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi bukan sahaja bagi kawasan Jitra dan Sungai Petani, tetapi juga kepada seluruh Utara Semenanjung,” katanya.