Tanpa mahu mengulas dengan terperinci perkara berkenaan termasuk jumlah pelaburan, Menteri Kewangan BC, Michael de Jong berkata, usaha itu sedang giat dijalankan dan diharapkan pihak yang terlibat dapat memuktamad­kannya dalam masa terdekat.

Beliau berkata, BC juga memilih negeri ini sebagai platform bagi kerajaan wilayah berkenaan memperluas, sekali gus membangunkan peluang perdagangan dan pelaburan yang konstruktif serta produktif di Asia Tenggara.

Menurutnya, usaha itu diperhebatkan dengan pembukaan Pejabat Wakil Perdagangan dan Pelaburan kerajaan wilayah BC yang pertama di negara ini tahun depan dan ketiga di ASEAN selepas Manila, Filipina dan Jakarta, Indonesia pada tahun ini.

“BC menyedari status Malaysia sebagai satu daripada kuasa ekonomi dalam kalangan negara ASEAN dan Johor pula dipilih berikutan ekonominya yang berkembang pesat selain kedudukannya strategik bersebelahan Singapura yang menawarkan hab perdagang­an dan kewangan global.

“Pejabat di Johor bakal memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan, sekali gus merebut pelbagai peluang ekonomi yang berkembang di ASEAN,” katanya semasa mengumumkan pembukaan Pejabat Wakil Perdagangan dan Pelaburan BC, di sini hari ini.

Terdahulu, de Jong yang dalam misi perdagangan ke negara ini mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hingga kini pelaburan BC di negara ini melebihi ratusan jutaan ringgit dan yakin dengan pembukaan pejabat baharu itu kelak bakal merancakkan lagi hubungan perdagangan kedua-dua pihak.