Pengurus Besar Teknologi Maklumat, Kad dan Unit Perkhid­matan Pengguna BHPetrol, Wong Voon Pui berkata, pelaksanaan terminal pembayaran tanpa sentuh telah dilaksanakan secara berperingkat sejak April lalu.

Kata beliau, sebanyak 196 cawangan menyediakan terminal pembayaran tanpa sentuh di mesin pam sementara terminal pembayaran tanpa sentuh di dalam premis terdapat di semua stesen minyak.

“Pelaksanaan pembayaran tanpa sentuh memberikan lebih kesenangan dan pilihan dalam membuat pembayaran apabila mereka mengisi minyak dan membuat pembelian di kedai serbaneka.

“Ini akan memastikan proses pembayaran yang lebih pantas serta masa menunggu yang lebih pendek untuk mengisi minyak. Secara tidak langsung ia membawa kepada kecekapan yang lebih tinggi untuk operasi BHPetrol,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Tambah Voon Pui, BHPetrol dan Visa turut melancarkan kempen Tanpa Sentuh BHPetrol bersama Visa dengan pelbagai tawaran hadiah menarik berjumlah RM330,000 dan berlangsung sehingga 27 November depan.

“Terdapat tiga hadiah utama yang bernilai RM50,000 setiap satu dan sebanyak 60 hadiah sagu hati bernilai RM3,000 setiap satu menanti para pemenang. Untuk menyertai kempen ini pemegang kad Visa hanya perlu melengkapkan satu transaksi pembayaran tanpa sentuh dengan jumlah minimum RM40.

“Pembayaran tanpa sentuh boleh dibuat sama ada di mesin pam atau di dalam premis,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, pemegang kad Visa di negara ini telah menjurus ke arah kaedah pembayaran tanpa sentuh.

Jelasnya, berdasarkan data VisaNet pemegang kad Visa di Malaysia membuat lebih daripada empat juta pembayaran tanpa sentuh dalam sebulan dan jumlah transaksi menca­tatkan pertumbuhan tiga digit setiap tahun.