Menurut syarikat minyak nasional itu, pembayaran dividen tersebut juga mengambil kira kemampuannya untuk membiayai operasi berterusan dan melabur bagi pertumbuhan masa depan.

Katanya, Petronas mengulas mengenai laporan S&P Global Ratings dan Moody’s Investors Service yang masing-masing mengesahkan penarafan kreditnya pada A- dan A1 susulan pengumuman pembayaran dividen khas sekali bayar RM30 bilion dalam Belanjawan 2019.

“Pengesahan penarafan kredit itu mencerminkan kedudukan kewangan kukuh Petronas yang kekal teguh.

“Kedudukan kewangan itu telah disokong oleh asas yang kuat, tunai bersih yang besar dan kedudukan mudah tunai yang cukup, dipacu oleh usaha transformasi sejak beberapa tahun lepas dari segi kecekapan operasi, pengurangan kos dan pengoptimuman portfolio, selain didorong harga minyak mentah yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Petronas juga memberi perhatian kepada perubahan unjuran penarafan Moody’s daripada stabil kepada negatif.

Perubahan unjuran berkenaan disebabkan Moody’s berpandangan profil kewangan Petronas akan berdepan risiko kemerosotan sekiranya pembayaran dividen kekal tinggi pada masa depan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Petronas mampu untuk membayar dividen khas sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan tahun depan susulan kenaikan harga minyak mentah dunia.

Menurut beliau, Petronas sudah membuat pertimbangan walaupun mereka memerlukan banyak dana untuk pengeluaran dan sebagainya, namun, Petronas mampu dengan jumlah tersebut.

“Kita harus tahu, harga minyak dunia telah meningkat. Sekiranya ia berada pada paras AS$40 (RM167.36) setong, mereka mungkin tidak mampu. Tetapi sekarang harga minyak hampir AS$80 (RM334.72) setong,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu.