Anugerah itu merupakan pengiktirafan buat majikan di peringkat nasional terhadap pembangunan kemahiran, pe­nge­tahuan, produktiviti serta keupayaan warga kerja menerusi strategi dan amalan sumber manusia yang cemerlang.

Pengiktirafan daripada Kementerian Sumber Manusia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tersebut di­sam­paikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh.

Ketua Pegawai Modal Insan Bank Rakyat, Mohd. Farid Shah Mohd. Basir berkata, anugerah itu menjadi pemangkin terhadap inisiatif transformasi Bank Rakyat menerusi pelaksanaan pelan strategik lima tahun, yang mana salah satu tonggak utamanya untuk menjadi organisasi yang cekap dan berpres­tasi tinggi.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen kami dalam menyediakan persekitaran kerja yang kondusif serta dinamik bagi memberi peluang kepada warga kerja untuk menyerlahkan potensi mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Bank Rakyat menerima pengiktirafan berprestij dalam sektor sumber manusia iaitu ‘Inovasi dalam Pengambilan’, ‘Perantis Terbaik’ dan ‘Penggunaan Media Digital dalam Pengambilan’ di Kongres Pembangunan Sumber Manusia (HRD) Dunia 2018 ke-26 di Mumbai, India.

Selain itu, Bank Rakyat turut memperoleh Anugerah Jenama Majikan Terbaik Malaysia 2018 daripada Institut Jenama Majikan (EBI) untuk dua tahun berturut-turut pada April lalu.