Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini berdasarkan prestasi akaun simpanan itu yang telah menarik 10,500 pemegang akaun dengan simpanan berjumlah RM8 juta sejak dibuka tiga bulan lalu.

Katanya, inisiatif tersebut merupakan platform tabungan terbaik dan pelanggan dapat me­rancang perjalanan umrah de­ngan lebih teratur.

“Pengenalan akaun baharu ini juga merupakan alternatif kepada bakal jemaah untuk membuat simpanan dan mengikuti pakej umrah yang selamat sekali gus menangani masalah penipuan pakej umrah yang masih berlelua­sa,” katanya dalam majlis pelancaran akaun itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Nege­ri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Henry Sum Agong; Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh; Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh dan Pengarah Urusan merangkap Presiden Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid.

Melalui simpanan itu, Bank Rakyat menerusi anak syarikatnya, Rakyat Travel Sdn. Bhd. menawarkan tiga pakej umrah iaitu Pakej Al-Safa bermula daripada RM5,488, Pakej Al-Marwah (RM5,988) dan Pakej Zam Zam (RM6,988).

Pelanggan hanya perlu menabung bermula sebanyak RM10 menerusi akaun simpanan itu. Mereka yang berminat untuk membuat simpanan dalam Akaun Simpanan-i untuk Ibadah Umrah boleh mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berdekatan atau pusat panggilan di talian 1-300-80-5454 untuk maklumat lanjut.

Mengenai kes penipuan pakej umrah, Hamzah berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna, kerugian bernilai lebih RM21 juta dilaporkan membabitkan 3,482 kes penipuan sejak 2012 hingga Oktober tahun lalu.

“Statistik yang direkodkan ini amat membimbangkan kerana kebanyakan kes yang berlaku membabitkan mereka yang berpendapatan sederhana atau rendah yang diumpan dengan tawaran pakej umrah pada harga murah,” katanya.