Menurut bank koperasi Islam itu, ia sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

“Perkhidmatan itu adalah menerusi sistem pengiriman wang Bank Rakyat Indonesia, juga dikenali sebagai ‘BRIfast’,” jelas bank itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Bank Rakyat ditubuhkan pada 28 September 1954 di bawah Ordinan Syarikat Kerjasama 1948 dengan nilai aset berjumlah RM99.3 bilion setakat September 2016.

Ia merupakan institusi ke­wang­­an Islam kedua terbesar di Malaysia selepas Maybank Islamic Bhd.

Transformasi sistem perbankan konvensional kepada sistem perbankan Syariah sejak 2002 telah membawa Bank Rakyat mencatatkan keuntungan memberangsangkan saban tahun.

Institusi perbankan itu terus mengembangkan pelbagai produk inovatif termasuk perbankan konsumer, pembiayaan komersial dan lain-lain bagi memenuhi keperluan spektrum pelanggan.

Selain itu, Bank Rakyat juga menerima pelbagai pengiktirafan berkaitan industri atau sebagai sebuah organisasi di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.

Sebagai sebuah entiti di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Bank Rakyat komited untuk mengukuhkan sektor koperasi sebagai tunjang pertumbuhan ekonomi negara.

Sehingga kini, ia mempu­nyai 147 cawangan dengan lebih 960 pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) serta 95 Ar-Rahnu X’Change di seluruh negara.