Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pembayaran dividen itu melibatkan jumlah anggaran sebanyak RM480 juta kepada semua ah­linya.

Katanya, kumpulan telah mencapai keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2.05 bi­lion, peningkatan sebanyak 17.8 peratus berbanding RM1.74 bilion tahun sebelumnya.

“Prestasi cemerlang ini adalah hasil daripada pendapatan utama sebanyak RM6.34 bilion, mening­kat 5.7 peratus berbanding RM6 bilion sebelum ini didorong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada aktiviti pembiayaan dan pelaburan selain kos operasi dan peruntukan pembiayaan yang terkawal.

“Kumpulan juga mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 17.2 peratus kepada RM1.36 bilion berbanding RM1.16 bilion sebelum ini,” katanya dalam majlis Pengumuman Prestasi Kewangan dan Dividen Bank Rakyat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh dan Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid.

Seiring dengan prestasi yang kukuh, Bank Rakyat berjaya me­ngekalkan kedudukannya sebagai Bank Koperasi yang paling tinggi keuntungannya serta sebagai institusi kewangan Islam ke­dua terbesar di Malaysia.

Sementara itu menurut Shukry, Pendapatan pelaburan Bank Rakyat meningkat sebanyak 14.7 peratus kepada RM1.25 bilion berikutan daripada pengurusan aset kewangan yang berhemat dengan tumpuan kepada risiko rendah tetapi hasil pendapatannya stabil.

“Jumlah aset kumpulan me­ningkat sebanyak 6.3 peratus atau RM6.23 bilion kepada RM105.45 bilion, berbanding RM99.22 bili­on sebelum ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Bank Rak­yat menyumbang sebanyak dua pera­tus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM39.97 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus bersamaan RM19.98 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.

Jumlah sumbangan bagi tahun 2017 adalah sebanyak RM59.95 juta.