Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, bantuan tersebut dikhususkan kepada para usahawan bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Menurut beliau, usaha itu dimulakan dengan sokongan daripada para pelanggan dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang telah menyenaraikan sebanyak 36 penerima terpilih di bawah program berkenaan.

“Dalam memberikan nilai saksama kepada penciptaan ekonomi dan mengekalkan nilai beretika, Bank Islam mengadaptasi program ini dengan tujuan untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi pemilik perniagaan yang kurang bernasib baik.

“Selain itu, ia turut membantu untuk mengekalkan perniagaan mereka tanpa bantuan pihak lain dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairul menambah, program itu turut memperlihatkan aspirasi bank untuk melengkapkan dan menzahirkan ekonomi sebenar Malaysia di samping berkembang bersama masyarakat.

Katanya, kebanyakan usahawan asnaf tersebut terdiri daripada tukang jahit, pekerja pembersihan dan penjual makanan di pasar malam di sekitar kawasan Besut, Setiu, Shahbandar, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

“Antara barangan yang akan dibeli daripada dana zakat ini adalah pembeku, pengadun tepung, ketuhar, set janakuasa, pam air, kanopi, dapur dan pelbagai lagi,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE