Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, unjuran itu seiring dengan peningkatan jumlah deposit Islam dan akaun pelaburan Islam sebanyak 9.6 peratus kepada RM580.7 bilion pada Januari hingga Julai lalu.

Katanya, berdasarkan Laporan Ekonomi 2016/2017, jumlah pembiayaan sistem perbankan Islam meningkat sebanyak 10.2 peratus kepada RM513.2 bilion.

Ujar beliau, Bank Islam menjangkakan 70 peratus daripada 30,000 pengedar ONEXOX, jenama perkhidmatan mudah alih prabayar oleh XOX Mobile akan menjadi pemegang kad debit berkenaan pada Jun 2017.

“Buat masa ini, Kad-I Debit Bank Islam Visa ONEXOX hanya terbuka kepada pengedar yang sah dan bakal ditawarkan kepada 1.5 juta pelanggan ONEXOX pada masa akan datang.

“Pengguna kad berkenaan bakal menikmati pelbagai ke­le­bihan daripada kerjasama tersebut selama dua tahun termasuk perkhidmatan perbankan mudah alih pertama di Malaysia oleh Bank Islam, TAP Mobile Banking-i (TAP),” katanya selepas majlis pelancaran Kad-I Debit Bank Islam Visa ONEXOX di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Jabatan Operasi One XOX Sdn. Bhd., Mohd. Affendi Ramli.

TAP yang dilengkapkan dengan teknologi cip inovatif membolehkan pengguna menjalankan urusan perbankan mereka hanya menggunakan telefon pintar tanpa memerlukan sambungan data internet.

Dengan TAP, maklumat kewangan para pengedar ONEXOX terjamin selamat dan mereka boleh menambah nilai menggunakan telefon tanpa perlu bimbang kebocoran maklumat peribadi kerana khidmat tersebut didatangkan dengan sistem keselamatan menggunakan ciri pengesahan berkembar bagi membolehkan transaksi yang lebih selamat.

One XOX ditubuhkan pada 2014 membawa jenama ONEXOX secara eksklusif yang merupakan pelan prabayar patuh syariah pertama di Malaysia.

Antara ciri patuh syariah tersebut adalah kadar perkhidmatan yang berpatutan, tiada iklan mengelirukan dan tiada unsur caj tersembunyi.