YAZID JA'AFAR
YAZID JA'AFAR

Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation (JPDC), Mohd. Yazid Ja’afar berkata, penekanan kerajaan kepada pelaburan berimpak tinggi bagi industri berasaskan eksport juga mampu terus menarik pelabur asing bertapak di PIPC.

 “Tarikan pelaburan asing itu mengukuhkan lagi aspirasi kerajaan dalam meletakkan negara sebagai lokasi pelaburan pilihan.

 “JPDC mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pembentangan Bajet 2018 yang disifatkan menyeluruh sekali gus diyakini akan terus menyumbang kepada kejayaan PIPC,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.

 Selain itu, tambahnya, usaha kerajaan untuk mengukuhkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta Program Peningkatan Keusahawanan Bumiputera dan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa dilihat dapat meiningkatkan lagi penyertaan lebih inklusif dalam memanfaatkan limpahan ekonomi pembangunan PIPC terutamanya dalam kalangan usahawan tempatan di Pengerang.

 Beliau berkata, petunjang ketiga dalam mengungguli pembangunan pendidikan, latihan, kemahiran dan bakat (TVET) itu juga merupakan satu inisiatif yang positif sejajar dengan program latihan dan kemahiran diusahakan JPDC bersama-sama insitusi TVET dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan industri hiliran minyak dan gas.

 “Kejayaan PIPC bukan sahaja membantu Malaysia mencapai transformasi ekonomi yang dirangka melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP), malah lebih penting lagi ia bakal memacu kesan limpahan ekonomi untuk seluruh negara.

 “Ia merangkumi usaha mewujudkan pekerjaan baru, melahirkan modal insan berkemahiran tinggi serta meningkatkan penyertaan usahawan tempatan dalam perkhidmatan sokongan di PIPC,” katanya. - UTUSAN ONLINE