S. Rakesh (kanan) bersama Amirudin Abd. Kadir selepas sidang akhbar
S. Rakesh (kanan) bersama Amirudin Abd. Kadir selepas sidang akhbar

Presiden Perniagaan Antarabangsa BAL, S. Rakesh berkata, syarikatnya akan merealisasikan hasrat itu dengan menggunakan kilang rakan niaganya, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) di Gurun, Kedah.

Katanya, usaha bagi pemindahan teknologi sedang giat dijalankan dan kilang pemasangan khusus tersebut bakal memulakan operasinya seawal enam bulan lagi atau Mac tahun depan.

Walau bagaimanapun jelasnya, fokus utama syarikat dari India itu ketika ini adalah mengukuhkan jenama BAL dan Modenas di Malaysia sebelum mula mengintai pasaran serantau.

“Di peringkat ini, kami akan menumpukan kepada pengukuhan jenama BAL dan Modenas di Malaysia dengan pelbagai strategi termasuk pengenalan produk serta perkhidmatan baharu.

“Jika perniagaan berkembang, kami akan menjadikan kilang Mo­denas sebagai hab pengeluaran motosikal BAL bagi negara jiran seperti Thailand dan Vietnam,” katanya ketika sesi lawatan wakil media Malaysia ke ibu pejabat BAL di Pune, India baru-baru ini.

Yang turut serta ialah Pengurus Besar Perniagaan Antarabangsa BAL, D. Sameer dan Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abd. Kadir.

BAL menerusi motosikalnya me­nerajui pasaran dalam segmen masing-masing di 77 buah negara termasuk di rantau Amerika Latin, Afrika, Asia Selatan, Asia Barat dan Asia Pasifik.

Mei lalu, Modenas me­nga­dakan usaha sama dengan BAL bertujuan mengukuhkan lagi jenamanya serta menguasai pe­gangan yang lebih besar dalam pasaran motosikal tempatan.

Hasil kerjasama tersebut, Modenas telah melancarkan ti­ga model baharu pada bulan sama iaitu Pulsar RS200 berharga RM10,700, Pulsar NS200 (RM8,700) dan V15 (RM5,650).

Setakat September lalu, Mo­denas berjaya menjual seba­nyak 2,000 unit bagi tiga model itu sekali gus mencapai 35 peratus penguasaan pasaran dalam segmen sport 150cc-250cc.

Rakesh berkata, sejak tahun lepas, BAL telah merangka strategi pengembangan di ASEAN dan Malaysia merupakan komponen yang penting untuk menjayakan rancangan tersebut.

“Meskipun telah mempu­nyai kehadiran yang kukuh di Filipina dan Kemboja, pemilihan Malaysia sebagai hab adalah berasaskan ekosistem perniagaan yang baik di negara itu.

“Kami bernasib baik kerana mendapat rakan niaga dengan visi yang serupa, malah gabung­an kerjasama ini akan memberi pelbagai kelebihan kepada jenama masing-masing,” ujarnya.