Untuk membuka akaun CDS dan akaun urusniaga saham, pertama sekali seseorang itu akan bertemu dengan dealer atau remisier yang akan membantu dalam proses pembukaan akaun. Maka, sudah tentu anda mempunyai peluang untuk meminta tunjuk ajar perkara-perkara asas membeli dan menjual saham di pasaran terbuka.

Meskipun begitu, pelaburan saham boleh dilakukan tanpa menggunakan khidmat dealer dan remisier iaitu urusniaga secara dalam talian tetapi sebagai orang baharu yang baru melibatkan diri dalam dunia saham perlu menggunakan khidmat dealer dan remisier ini.

Pemegang lesen berdaftar ini perlu menghadiri berbagai kursus yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia untuk melengkapkan diri bagi berurusan dengan pe­langgan. Mereka juga selalu dikemaskinikan dengan isu-isu dan maklumat semasa dunia pasaran.

Banyak kelebihan menggunakan khidmat dealer dan remi­sier. Salah satunya ialah apabila kita memerlukan dana untuk membuat pinjaman ke atas saham IPO yang dimohon melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri atau MITI serta permohonan melalui tawaran persendirian.

Dealer dan remisier ini juga akan menghebahkan kepada pelanggan sekiranya terdapat tawaran persendirian saham-saham IPO yang dikeluarkan oleh syarikat broker saham. Dan sesetengahnya akan memohon bagi pihak pelanggan di bawah proses book building.

Walaupun caj pembrokeran antara remisier ini berbeza daripada seorang remisier dengan remisier yang lain, setiap remi­sier mempunyai keistimewaan dalam memberi layanan kepada pelanggan.

Sebagai contoh, terdapat remisier yang boleh dihubungi selepas waktu pejabat atau pe­langgan boleh bertemu remisier di luar pejabat untuk hal-hal tertentu. Terdapat juga remisier yang datang berjumpa pelanggan untuk urusan pembukaan akaun urusniaga saham yang mana pelanggan tidak perlu datang ke syarikat broker saham untuk tujuan ini. Maka, ia memudahkan pelanggan dari segi masa dan tenaga.

Walaupun pada dasarnya, tugas seorang remisier ialah mengambil pesanan jual dan beli saham dari pelanggan, terdapat ramai remisier yang melayan pelanggan sebagai rakan. Mereka akan memantau portfolio pelaburan dan menyampaikan info dan maklumat saham kepada pelanggan tanpa disuruh.

Terdapat sesetengah remisier yang sentiasa mengemas kini harga turun naik saham kepada pelanggan walaupun perkara ini bukanlah tanggungjawab remi­sier kerana pelanggan boleh memantau pergerakan saham dari skrin telefon bimbit.

Ramai pelabur dan pedagang saham yang keliru dengan tugas dan tanggungjawab sebenar seorang remisier atau dealer. Mereka menganggap bahawa remisier dan dealer ini perlu memberikan petua saham serta memantau setiap pergerakan turun naik saham sepanjang masa untuk dimaklumkan kepada pelanggan.

Tugas menganalisa, membuat penyelidikan saham atau laporan harian merupakan tugas penganalisis pasaran, penasihat pelaburan bertauliah ataupun seorang chartist di syarikat broker saham. Individu-individu yang bertauliah ini dikhususkan oleh syarikat broker saham untuk tugas-tugas penyelidikan dan laporan saham.

Meskipun begitu, remisier dan dealer masih boleh membantu pelanggan dalam memberi info dan maklumat saham selagi tidak bercanggah dengan undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia. Ini ialah kerana remi­sier dan dealer ingin memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

Anda juga boleh mengesyor­kan kepada remisier atau dea­ler untuk menganjurkan sesi pembelajaran saham kepada pelanggan-pelanggan di syarikat broker saham anda itu. Cikgu Saham rasa syarikat broker saham juga tidak keberatan untuk mengadakan sesi pembe­lajaran saham kerana banyak syarikat broker saham dan bank pelaburan sememangnya telah menganjurkan seminar-seminar pelaburan.

Cikgu Saham menerima ba­nyak respon daripada orang ramai di media sosial Facebook mengatakan mereka tidak mengenali atau tidak pernah bertanya apa-apa tentang saham kepada remisier apabila mereka menghadapi sesuatu kesulitan. Sebagai contoh, dalam penggunaan platform urusniaga saham.

Dan agak menyedihkan bila terdapat penganjur kelas atau seminar saham yang mengenakan bayaran hanya untuk mempelajari cara-cara membuka akaun CDS dan akaun urusniaga saham.

Terdapat juga yang mengenakan bayaran sebanyak RM500 hanya untuk mengetahui cara-cara memohon saham tawaran awam permulaan atau IPO walhal orang ramai boleh bertanyakan hal ini kepada remisier atau dealer secara percuma.

Untuk seminar pendidikan sa­ham di negeri Perak, sila hubu­ngi talian 05-2495386, Shah Alam dan Bandar Baru Bangi di talian 013-3899162 atau 013-3225274.