Presiden dan Pengarahnya, Hendy Setiono berkata, Baba Rafi kini beroperasi di sembilan buah negara iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, China, Sri Lanka, Brunei, Singapura, Belanda dan Bangladesh.

Menurutnya, di Indonesia sahaja terdapat lebih daripada 1,200 cawangan Baba Rafi, namun perlu meneroka pasaran yang lebih luas di luar negara untuk mencapai sasaran berkenaan.

“Membuka cawangan di Malaysia adalah lebih mudah jika dibandingkan dengan pasaran Asia yang besar kerana cita rasa yang hampir sama. Sedikit pe­ngubahsuaian perlu dilakukan pada resipi supaya ia mengikut budaya tempatan bagi menarik orang ramai untuk datang.

“Kami kini dalam proses perbincangan lanjutan bagi memasuki pasaran India. Terdapat permintaan yang tinggi untuk francais induk di sana dan akan membuat pengumuman mengenainya selepas Aidiladha nanti,” katanya ketika kepada pemberita dalam majlis menandatangani perjanjian francais induk antara PT Baba Rafi Indonesia dengan Container Kebab Sdn. Bhd. di sini, baru-baru ini.

Mengenai potensi pasaran Malaysia, Hendy berkata, cita rasa yang hampir sama membantu penerimaan masyarakat terhadap produk keluaran Baba Rafi.

Menurutnya, semua yang diper­kenalkan di Indonesia akan dibawa ke Malaysia tanpa perlu melakukan pengubahsuaian resipi yang ketara.

Katanya lagi, Baba Rafi tidak asing lagi di negara ini kerana te­lah membuka beberapa cawa­ngan Kebab Turki dan yang terbaharu adalah Container Kebab yang te­lah memulakan operasi di Wangsa Walk pada Julai lalu.