Link Net diasaskan pada 1996 menyediakan perkhidmatan kepada lebih dua juta rumah di Indonesia.

Bloomberg melaporkan unit Axiata yang disenaraikan di Indonesia, PT XL Axiata telah memulakan perbincangan de­ngan pemegang saham utama Link Net disokong oleh CVC Capital Partners mengenai potensi tawaran.

Menurut sumber yang mempunyai pengetahuan tentang perkara itu, XL Axiata sedang bekerjasama de­ngan penasihat bagi meneroka peluang pembelian sebanyak 40 peratus kepentingan tersebut.

Data yang dikumpul oleh Bloomberg menunjukkan CVC Capital Partners memiliki sebanyak 33 peratus dalam Link Net sementara PT First Media, cabang konglomerat Lippo Group mempunyai pegangan sebanyak 26 peratus.

“Link Net menarik minat pelabur baru-baru ini berikutan First Media menjual pegangan bernilai AS$75 juta (RM306.07 juta) di dalam firma yang berpangkalan di Jakarta.

“Dua pemegang saham terbesar syarikat itu menjual kira-kira 30 peratus dalam Link Net pada 2014 menerusi tawaran bernilai AS$454 juta (RM1.85 bilion),” katanya.

Setahun kemudian, CVC dan First Media mempertimbangkan untuk melupuskan pegangan majoriti. Walau bagaimanapun, perjanjian yang ditawarkan tidak membuahkan hasil.