Syarikat gergasi telekomunikasi itu memberitahu, kumpulan sedang menilai semua potensi impak yang timbul terhadap Axiata daripada cadangan tersebut.

Katanya, penilaian kumpulan sebagai pemegang saham minoriti dalam Idea merupakan sebahagian daripada penilaian berterusan dan analisis portfolio pelaburan yang dilaksanakan secara menyeluruh.

“Axiata merupakan pemegang saham strategik dalam Idea sejak sembilan tahun lalu dan untuk itu, Axi­ata akan memastikan kedudukan pemegang sahamnya ditangani secara berkesan sama ada melibatkan penggabungan atau pembangunan industri.

“Sehubungan itu, bagi tindakan Axiata selanjutnya, jika ada, berdasarkan kepada hasil analisis yang komprehensif berpandukan prinsip-prinsip yang akan memaksimumkan manfaat kepada pemegang saham Axiata,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Idea membuat pengumuman di National Stock Exchange of India Ltd. dan Bombay Stock Exchange Ltd. mengenai kelulusan lembaga pengarahnya terhadap cadangan penggabungan dengan Vodafone India dan anak syarikat milik penuhnya, Vodafone Mobile Services Limited.

Axiata memiliki 19.8 peratus dalam Idea. Vodafone mula memasuki pasaran di India pada 2007.

Menurut laporan Reuters, gabungan Idea dengan Vodafone India akan mening­katkan jumlah pelanggan kepada 400 juta atau menguasai 35 peratus pasaran dengan nilai syarikat mencecah 828 bilion rupee (RM56.13 bilion) bagi Vodafone manakala 722 bilion rupee (RM48.94bilion) bagi Idea.

Malah, jelas Idea, entiti yang digabungkan ini akan menjadi pencabar utama dengan skala untuk bersaing dengan lebih berkesan.

Menerusi penggabungan itu, Vodafone yang merupakan operator telefon bimbit kedua terbesar dunia akan memiliki 45.1 peratus kepentingan dalam entiti tersebut selepas ia memindahkan 4.9 peratus kepada promoter Idea dan atau sekutunya untuk 38.74 bilion rupee (RM2.63 bilion) secara tunai.

Jelasnya, pemegang majoriti Idea, Aditya Birla Group (Aditya) akan memiliki pegangan sebanyak 26 peratus manakala selebihnya (28.9 peratus) akan dimiliki pemegang saham yang lain.

Aditya dan Vodafone berhasrat untuk memiliki pegangan yang seimbang menerusi kerjasama ini. Malah, kerjasama itu akan memiliki nilai gabungan syarikat sebanyak AS$23.2 bilion (RM102.8 bilion).