Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) yang meletakkan sasaran pengeluaran kenderaan tersebut antara 36,000 hingga 40,000 unit sehingga hujung tahun ini menganggap model itu sebagai penyelesaian terbaik kepada pelanggan yang mahukan kenderaan jimat minyak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, menerusi empat model yang ditampilkan iaitu Standard E, Standard G, Edisi Khas dan Advance, enjin pacuan 1.0 liter itu mampu memberikan penjimatan petrol sehingga 20 kilometer (km) bagi setiap liter.

Menurutnya, meskipun pacuan jenis automatik merekodkan kadar penjimatan berbanding transmisi manual iaitu pada kadar 21.6 km bagi setiap liter, namun Axia masih menjadi model EEV terbaik keluaran negara.

"Segmen Axia merupakan penyelesaian terbaik dan tindakan bijak oleh pelanggan yang mengutamakan kecekapan tenaga, selain menjadi kereta mampu milik oleh seluruh lapisan masyarakat terutama kepada mereka yang mahu memiliki kereta pertama dengan saiz selesa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelepasan konvoi aktiviti promosi Perodua Axia di Malaysia Timur dan majlis penyerahan model Alza kepada 'Ging Bubut FM' Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Perodua, Zahari Husin dan Pengarah RTM Sabah, Abdul Jalani Mahmud.

Mengulas lanjut Aminar berkata, permintaan segmen Axia bagi Standard E di Semenanjung adalah sekitar lapan peratus, sementara Standard G sebanyak 40 peratus dan selebihnya untuk Edisi Khas dan Advance.

Namun bagi permintaan di Malaysia Timur katanya, permintaan terhadap Standard E adalah sekitar 10 peratus, sementara Standard G sebanyak 32 peratus.

Tambahnya, tempahan bagi segmen Axia di Sabah sebanyak 1,600 unit sehingga kini, namun angka tersebut dijangka akan mencatat pertumbuhan lebih baik menerusi aktiviti promosi yang dilakukan oleh kumpulan Ging Bubut FM di seluruh negeri itu.

Jelasnya, selain aktiviti jualan dan perkhidmatan selepas jualan, turut dilakukan oleh kumpulan itu di kawasan pedalaman atau di luar bandar ialah usaha berterusan mendekati pelanggan yang dilihat mampu menambat hati pelanggan baharu.

Sementara itu katanya, tempoh menunggu kenderaan bagi segmen Axia dijangka berada pada kadar 1.5 bulan pada penghujung tahun ini berbanding 5.5 bulan ketika ini bagi pasaran Semenanjung dan enam bulan bagi Malaysia Timur.