Beliau berkata, langkah itu akan dilaksanakan secara bersepadu dan menyeluruh dengan mengadakan kerjasama pintar bersama pemain industri utama dari dalam dan luar negara supaya Mara lebih bersedia menghadapi cabaran semasa dan masa depan.

Oleh itu, beliau berharap kerjasama dengan badan korporat, syarikat milik kerajaan (GLC) dan konglomerat tempatan dapat diperkukuhkan lagi dalam pelaksanaan aktiviti teras Mara itu untuk memastikan institusi tersebut terus berdaya saing di masa hadapan.

“Pelaksanaan program serta aktiviti teras Mara yang bertemakan Keusahawanan dan Pendidikan Global akan diperkukuhkan lagi dengan terus memacu kerjasama pintar ke tahap yang lebih membanggakan.

“Bagi memangkin kemajuan ekonomi, Mara perlu mening­katkan kecemerlangan ke­upa­ya­an daya saing usahawan bim­bi­ngan Mara melalui agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) dengan memberikan perhatian kepada program-program keusahawanannya seperti latihan keusahawanan, pembiayaan perniagaan, kemudahan premis perniagaan dan kilang industri Mara yang mampu mencipta peluang perniagaan dan potensi kekayaan,” katanya selepas perjumpaan dengan ahli-ahli majlis pengurusan Mara di sini hari ini.

Awang Adek yang merupakan bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, memulakan tugas jawatan tersebut hari ini, menggantikan Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata, keupayaan Mara perlu dipertingkatkan tidak hanya cemerlang di peringkat domestik, malah lebih berjaya di persada antarabangsa dengan ‘mengeksport’ sistem pengurusan dan modul pendidikannya ke luar negara seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terbukti berjaya melahirkan mo­dal insan berkualiti.

“Sistem pendidikan MRSM Ulul Albab yang menyediakan silibus pengajian tahfiz sering mendapat permintaan tinggi, namun pada masa ini kita tidak dapat mewujudkan lebih daripada empat buah berikutan perbelanjaan tinggi.

“Tetapi kita bercadang untuk memperkenalkan silibus pengajian mini Ulul Albab itu di MRSM sedia ada supaya boleh dimanfaatkan kepada lebih ramai pelajar,” ujarnya.

Beliau turut bertekad untuk memulihkan imej institusi ber­kenaan daripada sebarang persepsi negatif yang melibatkan salah laku dan gejala rasuah.

Katanya, perkara itu menjadi ke­utamaan bersama kumpulan pengurusan yang diterajui beliau selepas ini bagi memastikan aspek integriti dan sistem tadbir urus baik dilaksana­kan sepenuhnya tanpa kepincangan.

“Perkara ini adalah antara perkara terpenting untuk memastikan soal sistem tadbir urus baik dan aspek ketelusan dari sudut sumber kewangan perlu mengikut prosedur tertentu, jangan sekali-kali melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan persepsi yang boleh merosakkan ins­titusi.

“Perkara ini turut dibincangkan bersama Unit Integriti dan pegawai kanan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Unit Audit Jabatan Audit Negara bagi memastikan Mara akan bersih, telus ser­ta melaksanakan tugas mengikut prosedur,” katanya.