Ia akan dilaksanakan melalui penerokaan menyeluruh harta intelek (IP) meliputi kepakaran dan aset kedua-dua syarikat.

Les’ Copaque akan berkongsi kandungan animasi manakala Astro pula akan mengendalikan saluran pengedaran dan pemasaran produk animasi berkenaan.

Empat produk animasi terbitan Les’ Copaque iaitu ‘Upin & Ipin’, ‘Upin & Ipin Iqra’, ‘Puteri’ dan ‘Pada zaman dahulu’ akan disiarkan di Astro dan NJOI di televisyen atau platform over-the-top (OTT).

Selain itu, kerjasama itu turut melibatkan penjualan barangan eksklusif Les’ Copaque di Go Shop dan penganjuran pelbagai aktiviti buat pelanggan di bawah Astro Circle.

Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, Astro sentiasa komited untuk membawa pelbagai kandungan yang mampu menggalakkan pembelajaran kreatif.

“Usaha sama ini akan memperluaskan lagi tawaran kandungan sedia ada buat pelanggan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga Indonesia, Singapura dan Brunei,” katanya dalam acara pengumuman kerjasama itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood dan Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md. Radzi.

‘Upin & Ipin’ mencipta kejutan dalam landskap animasi apabila menjadi saluran nombor satu di siaran YouTube Malaysia dengan memiliki 3.3 juta pengikut dan lebih dua bilion jumlah tontonan sejak 2017.