Pengarah Urusannya Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman berkata, fasa pertama kilang berkenaan akan mempunyai kapasiti untuk menghasilkan 200,000 silinder sebulan bagi memenuhi permintaan pasaran di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

“Pembinaan kilang berke­naan dijangka bermula pada Mei tahun depan dan siap dalam tempoh enam hingga sembilan bulan,” katanya kepada pemberita pada majlis memperkenalkan silinder LPG komposit dengan jenama ACGas berkenaan, di sini hari ini.

Nik Mohd Fareez berkata, silinder komposit berkenaan akan mula dipasarkan bermula awal tahun depan menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh Hyndai BS&C, anak syarikat konglomerat gergasi Korea Selatan, Hyundai.

“Untuk tahun pertama, kami menyasar menguasai tiga peratus pasaran pengguna LPG Malaysia, serta penguasaan 20 peratus pasaran pengguna menjelang tahun kelima produk ini di pasaran,” katanya.

Menurutnya, ketika ini pasaran pengguna LPG Malaysia berjumlah 120 juta silinder setahun.

Beliau berkata, buat permulaan syarikatnya akan mengimport silinder komposit dari Korea Selatan bagi memenuhi permintaan tempatan sehingga kilang di Pelabuhan Klang siap dibina.

Nik Mohd Fareez berkata, Astana City juga telah diberikan kelulusan pemberian subsidi oleh Kementerian Kewangan untuk memasar dan mengedarkan silinder LPG komposit untuk pasaran Malaysia.

Beliau berkata, syarikatnya kini dalam proses melantik ejen-ejen daerah bermula di kawasan Semenanjung.

“Kami jangkakan proses ini akan mengambil masa 12 bulan untuk merangkumi semua daerah di Malaysia,” katanya.

Mengenai silinder LPG komposit, beliau berkata, silinder berkenaan diperbuat daripada plastik dan gentian kaca sekali gus bersifat tahan karat dan ringan berbanding silinder besi tradisional.

Melalui ciri lutcahaya, pengguna juga dapat melihat penanda aras kandungan LPG.

Selain itu, silinder LPG komposit berkenaan turut dilengkapi dengan RFID Smart Valve yang dapat membantu bagi mengelakkan penyelewe­ngan subsidi dan penyeludupan silinder LPG. – BERNAMA