Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, program tersebut yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dianjurkan buat kali kedua dan disasar menarik 15,000 pengunjung.

Katanya, menerusi Fies­ta Labur PNB, ASNB mahu me­nyam­paikan mesej mengenai ke­lebihan melabur dan berkongsi ilmu asas pelaburan seperti Kuasa Kompaun dan Rule of 72 untuk memudahkan para pelabur.

“Program ini bermatlamat untuk menghimpunkan kesemua program Didik Pelabur PNB yang dianjurkan sepanjang tahun di semua negeri. Ia bertujuan menyampaikan maklumat berkaitan pelaburan dalam suasana santai bersama para peserta dan orang ramai.

“Berteraskan hiburan berinformasi, terdapat pelbagai program dan aktiviti yang menarik antaranya Santai Labur yang menampilkan Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida dan Datuk Aliff Syukri, Labur Ria bersama artis popular seperti Ziana Zain, Aiman Tino dan Wany Hasrita,” katanya dalam sidang akhbar Fiesta Labur PNB di sini hari ini.

Fiesta Labur PNB akan dirasmikan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani pada 28 September ini.

Program itu mengumpulkan semua program didik labur seperti Kuiz Pelaburan PNB untuk empat kategori iaitu badan beruniform, sekolah menengah, institut pendidikan guru dan institusi pengajian tinggi; Jamboree untuk Kelab Pelaburan Bijak PNB, persembahan seni kreatif dan Kem Perancangan Kewangan Kanak-kanak PNB untuk pelajar sekolah rendah.

Bagi memeriahkan program, sebanyak 50 gerai jualan dan pameran akan dibuka terdiri daripada ejen ASNB, badan beruniform dan peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) yang menjual pelbagai produk seperti tudung, pakaian, makanan dan barangan kecantikan.

Para pengunjung juga boleh mendapat maklumat berguna me­ngenai pelaburan menerusi Bengkel “Kuasai Kewangan Anda” yang membincangkan empat topik menarik iaitu Pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB), Peranca­ngan Pelaburan Emas, Perancangan Pelaburan Hartanah dan Peranca­ngan Harta Pusaka yang menampilkan sifu hartanah, Ahyat Ishak.