Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Tan Sri Ranjit Ajit Singh berkata, jumlah ahli PRS tahun lalu juga menunjukkan pe­ningkatan ketara sebanyak 36 pera­tus kepada 301,279 ahli berbanding 221,235 ahli pada 2016.

Menurutnya, jumlah caruman yang dicatatkan pada 2017 itu juga merupakan jumlah tertinggi yang pernah direkodkan sejak PRS mula diperkenalkan lebih lima tahun lalu.

“Dalam menghadapi pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup dan perubatan yang semakin tinggi, di samping masyarakat yang semakin tua, jadi amat penting untuk kita mengambil pendekatan bersedia bagi menghadapi hari persaraan.

“Walaupun konsep merancang persaraan dengan simpanan mungkin agak membebankan golongan belia, namun perkara berkenaan sememangnya penting demi kebebasan kewangan mereka kelak,” katanya dalam majlis pelancaran Insentif Belia Transformasi Nasio­nal (TN50) PRS di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Turut hadir, Pengerusi Pentadbir Pencen Swasta (PPA), Datuk Zaiton Mohd. Hassan.

Khairy turut melancarkan perkhidmatan digital PRS iaitu PRS Online Enrolment dan aplikasi mudah alih myPPA bagi memudahkan orang ramai mendaftar PRS secara dalam talian.

Insentif berkenaan merupakan kerjasama antara SC dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menggalakkan golongan belia negara untuk menyimpan dan melabur demi kepentingan masa depan.

TN50 PRS juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai kepentingan merancang persaraan seawal usia.

Dalam pada itu, Zaiton berkata, golongan celik kewangan amat penting menuju ke tahun 2050 apatah lagi lima teras utama TN50 adalah berdasarkan kepada aspirasi belia kepada pembangunan negara.

“Kami gembira kerana golo­ngan belia di bawah 30 tahun semakin mula menunjukkan minat untuk melabur kepada masa hadapan dengan golongan ber­kenaan merangkumi 27 peratus daripada ahli PRS,” katanya.