F. Cleo Kawawaki
F. Cleo Kawawaki

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Asia Tenggara, Bank Pembangunan Asia (ADB), F. Cleo Kawawaki berkata, nilai berkenaan adalah tiga kali ganda daripada jumlah yang dibelanjakan oleh negara-negara dalam rantau ASEAN ketika ini walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau ini berkembang dengan pesat.

Menurutnya, sistem pasaran modal yang kukuh amat penting bagi menarik kehadiran pelabur antarabangsa sekali gus dapat meningkatkan pembangunan infrastruktur di samping memberi pulangan besar kepada pelabur.

“Pembangunan pasaran modal yang berkesan sangat penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dalam sesebuah negara kerana tidak ada pelabur antarabangsa yang menginginkan pulangan kecil apabila melabur di rantau ini sedangkan mereka boleh mengutip pulangan lebih besar sekiranya melabur di rantau lain.

“Usaha yang dilakukan Malaysia seperti memperkenalkan pembiayaan hijau kepada rantau ASEAN di samping pelbagai amalan lain bagi memperkukuhkan pasaran modal wajar dipuji supaya dapat melonjakkan pertumbuhan ekonomi serantau,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Strategi Global, Ketua Penyelidik Maybank Kim Eng Research Pte. Ltd, Sadiq Currimbhoy dan Pengarah Pengurusan Awam Bahagian Perdagangan dan Sektor Kewangan Asia Tenggara ADB, Dr. Kelly Bird.

Bird berkata, Malaysia adalah negara yang patut dicontohi oleh negara-negara ASEAN yang lain dalam membangunkan pasaran modal yang kukuh dan mempunyai pembiayaan infrastruktur yang baik.

Katanya, pelaburan yang dilakukan oleh syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) negara seperti Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat membantu pertumbuhan negara dalam jangka masa panjang.

“Kesungguhan Malaysia membangunkan pasaran modal yang kukuh seperti penerbitan sukuk yang juga antara terbesar di dunia patut menjadi teladan kepada negara lain.

“Kami di ADB sendiri mahu belajar dan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam hal amalan kewangan yang dipraktikkan supaya dapat digunapakai di negara lain dalam rantau ini,” ujar beliau.

Currimbhoy pula berpendapat perkembangan pesat teknologi distruptif yang menumpukan kepada produk-produk inovasi perlu dititikberatkan dalam memastikan rantau ASEAN dapat bersaing dan berdaya tahan.

“Kehadiran teknologi sebenarnya boleh membantu sesebuah negara mencipta kelainan dan memberi kelebihan kepada sesebuah negara untuk melonjakkan perkembangan ekonominya,” kata beliau.