Tahun lalu, ASNB mengagihkan pendapatan sebanyak 7.00 sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit untuk ASB serta bonus khas sebanyak 1.00 sen seunit yang turut dibayar untuk baki sehingga 10,000 unit.

Bagi Amanah Saham Nasio­nal (ASN) pula, ASNB mengagih­kan pendapatan sebanyak 3.25 sen seunit bagi tahun kewa­ngan berakhir 31 Disember 2018 yang mewakili hasil dividen seba­nyak 5.1 peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih dana tersebut setakat 20 Disember 2018.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, pencapaian tersebut mencerminkan prestasi kewangan PNB yang kukuh pada tahun ini di sebalik pasaran global dan domestik yang tidak menentu.

Katanya, 2018 sememangnya merupakan tahun yang mencabar bagi pasaran kewangan global dan domestik yang terkesan disebabkan oleh normali­sasi dasar monetari Amerika Syarikat dan aliran keluar dana daripada pasaran baharu serta kebimbangan yang semakin meningkat ekoran dagangan antarabangsa.

“Walaupun berhadapan de­ngan cabaran ini, pengagihan pendapatan ASB kekal kompetitif mengatasi penanda aras yang ditetapkan dan berada pada tahap sederhana jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

“Setakat 20 Disember 2018, indeks FBM KLCI menurun sebanyak 8.1 peratus tahun ini menjadikannya empat dari lima tahun yang mana indeks mencatat pulangan harga negatif dalam persekitaran yang mana semua pasaran ekuiti global juga telah menurun,” katanya dalam pembentangan Prestasi PNB 2018 dan Pengumuman ASB dan ASN di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Pengagihan pendapatan dan bonus ASB tahun ini melibatkan jumlah anggaran pengagihan sebanyak RM10.7 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.6 juta pemegang unit menjadikan jumlah pengagihan pendapatan terkumpul dana dan bonus sebanyak RM143.1 bilion setakat ini sejak pelancarannya pada 1990.

Setakat 30 November 2018, ASB merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM8.99 bilion untuk 11 bulan pertama tahun kewangan dengan sebahagian besarnya diperoleh daripada dividen dan keuntungan modal pelaburannya.

Bagi ASN pula, anggaran jumlah pembayaran seba­nyak RM59.7 juta akan memberi manfaat kepada lebih daripada 1.2 juta pemegang unit dengan lebih daripada 1.8 bilion unit dalam dana tersebut.

Pada 30 November 2018, ASN merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM64 juta untuk 11 bulan pertama tahun kewa­ngannya.

Sehubungan itu, semua urus niaga ASB dan ASN di semua cawangan dan ejen ASNB ditangguhkan sementara waktu dari 21 Disember 2018 hingga 1 Januari 2019.