Pada 11.51 pagi ini, saham syarikat itu turun lima sen kepada RM1.22 dengan 9.77 juta saham bertukar tangan.

MIDF Investment dalam nota penyelidikannya berkata, penjualan itu dipercayai berkaitan dengan kebimbangan terhadap prospek pasaran hartanah yang mencabar di Johor.

Firma penyelidikan itu berkata, berikutan penjualan oleh pelabur asing, UEM Sunrise telah digugurkan daripada Indeks MSCI Malaysia, indeks penanda aras bagi mengukur prestasi pelaburan oleh pelabur antarabangsa.

Bagaimanapun, ia berkata, asas UEM Sunrise masih kekal kukuh dengan jualan tidak dibil berjumlah RM3.9 bilion pada akhir tahun kewangan 2014, yang menyediakan pendapatan bagi tempoh lebih dua tahun sekali gus menyokong keuntungan bersih tahun kewangan 2015 syarikat itu.

Bagi jualan baharu, firma penyelidikan itu mengekalkan unjurannya pada RM1.95 bilion bagi tahun kewangan 2015, lebih rendah berbanding sasaran pengurusan UEM Sunrise antara RM2 bilion dan RM2.4 bilion, dan mengekalkan un­juran keuntungan bersih RM491 juta.

MIDF Investment memberi saranan penarafan neutral bagi UEM Sunrise dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.35. – BERNAMA