Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook ketika mengadakan lawatan ke China yang merupakan pasaran luar negara tunggal terbesar buat Apple.

Menurutnya, Apple merancang untuk membina kemudahan penyelidikan baharu di bandar-bandar timur China iaitu Shanghai dan Suzhou sebagai tambahan kepada rancangan sedia ada di Beijing dan bandar selatan Shenzhen.

Syarikat itu juga berhasrat untuk membelanjakan sekurang-kurangnya 3.5 bilion yuan (RM2.2 bilion) bagi institusi penyelidikan.

“Semua empat pusat itu akan dibuka pada akhir tahun ini. Ia akan membantu Apple untuk bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan dan menarik minat daripada pembekal tempatan serta institusi pendidikan terbaik,” jelas syarikat itu dalam satu kenya­taan yang disiarkan di laman web China.

Pengumuman itu dibuat sehari sebelum Cook dijadualkan hadir ke satu forum ekonomi berprofil tinggi di Beijing, yang akan dihadiri pegawai kanan kerajaan serta ketua beberapa syarikat terbesar dunia termasuk Royal Dutch Shell Plc. dan Saudi Arabian Oil Co.

Sejak bertahun lamanya, China merupakan sebuah pasaran yang banyak membantu memacu pertumbuhan Apple. Namun, vendor tempatan seperti Huawei Technologies Co., Oppo dan Vivo semakin menghakis penguasaan pasaran Apple. – Agensi