Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook berkata, jam tangan itu menggabungkan fungsi kesihatan serta kecergasan yang boleh dihubungkan kepada iPhone dan akan mula dijual pada awal 2015 dengan harga AS$349 (RM1,118).

"Apple Watch mampu menerima panggilan telefon dan pesanan, memainkan muzik serta berfungsi sebagai dompet digital bagi pembayaran serta memantau kadar jantung melalui sensor khas," katanya ketika memperkenalkan peranti baharu berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata, jam tangan tersebut didatangkan dalam tiga koleksi termasuk edisi sukan dan edisi mewah yang disaluti emas 18-karat.

Dalam masa yang sama, Apple turut memperkenalkan model iPhone terbaharunya dengan saiz lebih besar iaitu iPhone 6 berukuran 4.7 inci serta iPhone 6 Plus berukuran 5.5 inci.

"Model baharu ini akan menyokong lebih daripada 200 syarikat telekomunikasi di seluruh dunia, termasuk di China yang merupakan pasaran penting bagi syarikat," kata Cook.

Tambahnya, setiap model baharu telefon dan jam tangan keluaran Apple akan dilengkapi dengan perkhidmatan pembayaran mudah alih 'Apple Pay' yang membolehkan pengguna membuat pembayaran melalui iPhone tanpa perlu menggunakan kad kredit atau debit. - REUTERS