Ketua Yoodo, Farid Yunus berkata, untuk mencapai sasaran berkenaan, Yoodo perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 600 pengaktifan baharu setiap hari bermula Selasa lalu.

“Berdasarkan kepada kaji selidik yang dijalankan, kami mendapati terdapat seramai lima juta rakyat Malaysia yang kerap membeli-belah dalam talian, ini adalah pasaran sasaran utama kami.

“Kami tidak merancang untuk mengambil alih dunia, tetapi lebih kepada pengalaman pelanggan. Sasaran hanya sederhana, kami tidak mahu terlalu bercita-cita tinggi,” katanya pada majlis pelancaran Yoodo di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Perniagaan Celcom Axiata Bhd. (Celcom), Azwan Khan Osman Khan.

Menurut Farid, Yoodo memberikan kebebasan kepada pengguna untuk memilih dan mengawal pelan mudah alih mereka, dan boleh diubah suai mengikut keperluan, tanpa gimik, caj tersembunyi atau komitmen.

“Berbeza dengan pembekal lain, buat pertama kalinya, Yoodo menawarkan pakej panggilan, data, mesej dan kandungan boleh diubah suai mengikut keperluan pengguna dengan lebih kurang 1,000 kombinasi unik.

“Ia memberikan kebebasan penuh kepada pelanggan untuk mengubah, menambah atau mengurangkan kuota pakej mereka pada bila-bila masa menerusi aplikasi Yoodo,” ujarnya.

Farid memberitahu, pengguna boleh menempah kad SIM percuma melalui aplikasi atau laman web Yoodo dan selepas itu, mereka boleh mengubah suai pelan mudah alih mengikut kehendak masing-masing.

Yoodo merupakan perkhidmatan bebas yang dimiliki dan dikendalikan oleh Celcom.