Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nizam Abd. Razak berkata, selain itu, syarikatnya mahu menggunakan landasan yang disediakan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk bertapak kukuh di Thailand, Vietnam dan Filipina.

“Apabila kami mengetahui, animasi Boboiboy amat digemari di Kazakhstan, pastinya ini sesuatu yang mengejutkan kerana selain Malaysia, Indonesia mencatat rating tertinggi.

“Bahkan, ini memberi keyakinan kepada kami untuk menjadikan Boboiboy sebagai jenama yang kukuh di pasaran Asia dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi. Kami yakin, hasrat ini boleh direalisasikan dengan adanya peluang yang disediakan Matrade,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Nizam menubuhkan Animonsta bersama tiga rakan universitinya, Mohd Safwan Ab. Karim, Muhammad Anas Abdul Aziz dan Kee Yong Pin yang hanya mempunyai tujuh pekerja pada 2009 sebelum berkembang dan mempunyai 70 tenaga kerja hari ini. Mereka sebelum itu terkenal dengan animasi Upin Ipin menerusi produksi Les’ Copaque.

Setelah tiga musim bersiaran, Animonsta mengambil langkah berani untuk mengangkat karya siri Boboiboy ke layar perak melibatkan pelaburan berjumlah RM5 juta.

Filem BoBoiBoy: The Movie yang ditayangkan pada 3 Mac lalu berjaya mengutip sebanyak RM15.73 juta.

Boboiboy yang merupakan buah tangan sulung syarikat tersebut kini sudah diterjemahkan ke Bahasa Inggeris, Rusia, Arab dan Mandarin serta disiarkan di 47 buah negara di seluruh dunia.

Animonsta boleh dikatakan antara syarikat animasi yang berjaya setakat ini dengan adanya pelbagai suntikan disalurkan menerusi Matrade dan pelbagai agensi lain termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menurut Mohd. Nizam, kerjasama dengan Matrade baru bermula sejak dua tahun lalu apabila Animonsta mahu menceburkan diri dalam pasaran eksport sebagai usaha pengembangan syarikat ke pentas antarabangsa.

Katanya, dalam tempoh itu, eksport produk keluaran Animonsta meningkat dua kali ganda terutama dipacu jualan di Indonesia.

“Pada September lalu, Matrade telah membawa Animonsta menyertai Tokyo Game Show sekali gus mendedahkan kami kepada syarikat-syarikat yang berpotensi dalam permainan video.

“Ini secara tidak langsung menyediakan platform kepada kami untuk membuka mata orang luar terutama di Jepun tentang jenama dari Malaysia,” katanya.

Beliau memberitahu, Animonsta telah mengeluarkan tujuh permainan video Boboiboy Galaxy dalam skala kecil setakat ini tetapi buat pertama kali akan mengeluarkannya pada skala besar hujung tahun ini melibatkan syarikat di Hong Kong dan Indonesia.

Mohd. Nizam melihat 2017 sebagai tahun yang akan memahatkan nama Boboiboy dengan lebih luas lagi terutama dengan pelancaran permainan video tersebut dan juga filem kedua Boboiboy The Movie yang akan ditayangkan awal 2018.

Disiarkan di 47 buah negara

Kazakhstan mempunyai peminat Boboiboy ketiga paling tinggi selepas Indonesia dan Malaysia

Akan mengeluarkan permainan video Boboiboy Galaxy

Dijangka bekerjasama dengan syarikat dari Hong Kong dan Indonesia

Filem kedua Boboiboy The Movie awal tahun 2018