Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sejak diperkenalkan pada 2014, sebanyak dua edisi Maccops telah dianjurkan dan sambutan diterima setakat ini amat meng­galakkan dengan nilai jualan serta pelaburan kedua-dua edisi tersebut mencecah RM5 juta.

Katanya, Angkasa yakin Maccops mampu dijadikan jenama yang gah dan Persidangan Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) 2017 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur, November depan bakal menjadi platform terbaik bagi memperkenalkan karnival tersebut di peringkat global.

“Kita ada beberapa jenama yang hebat seperti MAHA (Pa­meran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia) serta Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang kini cukup dikenali di pe­ringkat antarabangsa.

“Kami berharap Maccops juga boleh mengikut jejak langkah serupa, lebih-lebih lagi setakat ini, tidak ada koperasi mana-mana negara di dunia ini pernah menganjurkan karnival khas untuk mempromosi produk keluaran koperasi,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Angkasa Negeri Kelantan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Ang­kasa negeri, Datuk Che Mohd. Syukree Che Isa.

Abdul Fattah memberitahu, Maccops diperkenalkan bertujuan mengetengahkan produk dan perkhidmatan koperasi kepada orang ramai, sekali gus mampu menaik taraf serta memartabatkan koperasi negara.

“Apabila dibawa ke peringkat global dengan penyertaan koperasi-koperasi negara lain, Maccops boleh menjadi medan pertemuan koperasi-koperasi seluruh dunia dan menyumbang kepada pelbagai transaksi pelaburan pada masa depan,” katanya.

Bercerita mengenai ICA 2017, Abdul Fattah memberitahu, persidangan peringkat antarabangsa itu dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 14 hingga 17 November depan dan dijangka dihadiri kira-kira 1,500 perwakilan dari 103 negara.

“Sempena berlangsungnya ICA 2017, kita akan menganjurkan Maccops 2017 di lokasi sama serta menyasarkan sebanyak 300 koperasi dari 103 negara akan hadir dan menyertai karnival ini,”katanya.